WALAUPUN bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia bukanlah mengejutkan. Sebelum ini Mahkamah Tinggi mendapati Najib... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia bukanlah mengejutkan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Keputusan dan hukuman ke atas Najib turut diterima pakai secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan - Datuk Abdul Karim Abdul, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Selasa lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tengku Maimun antara lain berkata: "Dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan dikemukakan pihak pembelaan.

"Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi seperti disahkan Mahkamah Rayuan, adalah jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan. Kami bersetuju bahawa pembelaan sememangnya tidak konsisten dan luar biasa sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.”

Sebahagian kita memang rasa sedih dengan keputusan tersebut kerana mengenangkan pelbagai sumbangan Najib kepada pentadbiran negara.

TERJEBAK KANCAH

Di bawah pentadbirannya, negara mencapai transformasi agak signifikan dari segi pertumbuhan ekonomi, pembangunan prasarana kesalinghubungan rakyat, peningkatan kualiti sektor perkhidmatan awam serta ‘revolusi’ bantuan kebajikan kepada kumpulan rentan dan B40.

Namun, jasa sedemikian banyak tidak mungkin boleh menutup mata undang-undang. Jika kita membenarkan perkara itu berlaku, maka mereka yang kaya, berkuasa dan ternama bebas melanggar undang-undang asalkan melakukan banyak kebajikan kepada negara serta orang ramai.

Malangnya seperti parti politik lain, UMNO turut terjebak dalam kancah menuduh kehakiman berat sebelah dan semua itu adalah percaturan politik semata-mata.

Seperti mana PKR menyerang kehakiman apabila Presiden mereka didapati bersalah dalam kes liwat, seperti DAP menyerang kehakiman apabila Lim Guan Eng didakwa atas tuduhan rasuah, demikian juga tingkah laku UMNO.

UMNO seolah-olah beranggapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan boleh dipengaruhi serta diberi arahan. UMNO kini menjadi seperti DAP, PKR dan Warisan yang menggunakan kehakiman sebagai kambing hitam bagi menyucikan gerakan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan oleh pelbagai media berdepan tekanan teruk dari dalam parti UMNO sendiri. Dalam kalangan rakyat yang tidak punya pendirian politik kepartian, desakan dan serangan ke atas UMNO termasuk dikatakan dalam mesyuarat Biro Politik menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai sikap UMNO jika menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagi sebahagian pemimpin UMNO, apa guna Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri jika tidak dapat membantu pemimpin parti yang teraniaya akibat pendakwaan bermotif politik. Ini satu bentuk pemikiran yang sepatutnya telah hilang dalam kamus UMNO apabila kalah pada PRU14.

Pendakwaan, sama ada bermotif politik atau tidak, masih bergantung kepada pembuktian di mahkamah. Hakikat sistem kehakiman kita mempunyai sehingga 10 orang hakim meneliti satu-satu kes berprofil tinggi menunjukkan ketelusan dan keluhuran sistem yang ada.

Jika serangan ke atas Ismail Sabri berterusan, sudah tentu ia akan menimbulkan kecurigaan siapa Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU nanti. UMNO memberi gambaran ia mahu mencari pemimpin yang boleh berkompromi menguruskan kes mahkamah pemimpinnya.

Sekiranya UMNO memilih untuk terus mendesak disegerakan PRU15, maka ia akan menimbulkan syak wasangka rakyat bahawa kemenangan BN memberi lesen kepada ahli politik untuk mengganggu urusan mahkamah.

Ia tidak baik kepada BN pada PRU15 dan juga tidak baik untuk kebebasan sistem kehakiman kita.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca