PELBAGAI isu negara kini timbul dan dibicarakan di khalayak awam. Bualan yang kadangkala menjadi panas itu bukan sahaja memenuhi media sosial, malah turut dibincangkan banyak pihak di mana-mana sahaja sama ada ketika perjumpaan formal atau tidak formal.
Bermula dengan uar-uar mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dikatakan akan diadakan tidak lama yang menyebabkan gegak gempita seluruh negara sama ada dalam kalangan orang politik mahupun bukan orang politik.
Yang berkedudukan dalam parti sudah mula menggerakkan agenda masing-masing agar terpilih menjadi calon PRU, manakala yang tidak berparti khususnya netizen tidak ketinggalan melontarkan pandangan masing masing.
Parti-parti politik juga sudah mula menzahirkan minat untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu yang menyebabkan reaksi negatif daripada rakan segabungan mereka dan pihak lawan. Bermulalah saingan perebutan kerusi antara mereka kini.
Isu yang lebih kompleks pula di Mahkamah Persekutuan di mana perbicaraan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Pelbagai permohonan dibuat seperti mahu mengemukakan keterangan baharu, penangguhan, permohonan agar Ketua Hakim menarik diri mendengar rayuan, kemasukan semula peguam terdahulu dan lain-lain menjadi perhatian pelbagai pihak.
Paling utama, keputusan mahkamah tertinggi negara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Najib diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Malah, diedarkan juga di media sosial suatu dokumen dikatakan penghakiman mahkamah bagi kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor ditarikhkan pada 26 Ogos 2022, sedangkan Mahkamah Persekutuan belum pun membuat keputusan. Ketulenan dokumen tersebut diragui dan mungkin akan membangkitkan pelbagai persepsi.
Tidak berhenti dengan isu perbicaraan Najib, perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menarik perhatian ramai. Begitu juga beberapa dakwaan Rafizi Ramli dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS). Inilah antara perkara-perkara yang sedang diperkatakan oleh rakyat pelbagai peringkat di Malaysia ketika ini.
PERTIKAIAN
Masing-masing mempunyai pandangan sendiri sama ada menyokong atau membantah sesuatu isu. Kadang-kadang pertikaian isu tersebut menjadi tidak keruan akibat begitu taasub kepada sesuatu pegangan.
Memang seronok kita bercakap tentang isu sensasi dan kontroversi tetapi sampai bila kita harus begini? Malang bagi kita apabila tidak ramai bercakap tentang usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan negara secara berstrategi.
Sampai bila kita hendak bercakap dan bertengkar mengenai perkara yang masih tidak nampak jalan penyelesaiannya. Marilah rakyat Malaysia, kita sama-sama membangunkan negara dengan idea-idea tuntas dan bermanfaat.
Biarlah mahkamah menentukan keputusan perundangan, biarkan ahli politik bergelora dalam kancah politik mereka, biarkan ahli agama menentukan hukum-hakam agama dan kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab bersatu memajukan negara dicintai ini.
Sempena bulan kemerdekaan, kita mesti insaf kongkongan penjajah selama 446 tahun dahulu begitu memeritkan kita. Setelah kita mentadbir sendiri watan selama 65 tahun, janganlah kita jadikan rakyat lebih menderita berbanding semasa zaman penjajahan tersebut.
Kita mempunyai ramai anak watan berkaliber dan mahir mentadbir, tidak kurang cerdik pandai dan agamawan yang dapat membantu membangunkan negara. Padukanlah tekad dan usaha bagi memajukan negara mengikut acuan watan kita.
Namun, sekiranya kemelut demi kemelut sebegini tidak dirungkaikan segera, kita tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang pembangunan negara dan bangsa.
Perpecahan rakyat dalam aspek politik sangat ketara, begitu juga dalam perkara mengenai ras dan antara agama. Hatta, perkara ‘intra agama pun’ acap kali menimbulkan perbalahan dalam kalangan penganutnya.
Nampaknya kita lebih mahu mencari perbezaan berbanding mendukung persamaan. Walaupun perbezaan itu sedikit sahaja, kita mengetepikan persamaan yang telah lama wujud antara kita semua. Kita tidak menghargai persamaan antara kita yang boleh menjadi pemangkin kepada penyatuan rakyat Malaysia.
Sempena bulan kemerdekaan, saya menyeru semua rakyat Malaysia menganjak minda dan menggarap upaya agar kita sama-sama tumpahkan keringat kepada pembangunan negara yang kita cintai.
Kita sudah tidak punya masa bertelagah sesama sendiri. Orang lain sudah jauh meninggalkan kita dalam kemajuan, namun kita masih ditakuk lama.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca