PADA 31 Ogos ini, Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-65. Sejurus mencapai kemerdekaan, Malaysia telah memohon menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 17 September 1957 ketika Persidangan Agung PBB ke-25, Malaya... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 31 Ogos ini, Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-65. Sejurus mencapai kemerdekaan, Malaysia telah memohon menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 17 September 1957 ketika Persidangan Agung PBB ke-25, Malaya (ketika itu) telah diterima sebulat suara sebagai ahli ke-82 PBB. Tun Dr Ismail Abdul Rahman selaku Duta Malaya ke PBB dan Amerika Syarikat (AS) telah berpakaian baju kebangsaan, lengkap dengan sebilah keris seperti seorang pahlawan diberi penghormatan menyampaikan ucapan sulung.

Beliau telah menegaskan walaupun Malaya sebuah negara kecil tetapi berdiri teguh kepada keamanan, kebebasan dan kesejahteraan setiap negara di dunia. Sejak merdeka, Malaysia menyokong usaha multilateralisme dan kerjasama antarabangsa demi ke-amanan serta kesejahteraan.

Pada Oktober 1960, semasa Afrika tergugat akibat pergolakan politik di Congo, Setiausaha PBB, Dag Hammarskjold terpaksa menghantar pasukan tentera keamanan ke Congo.

Kerajaan Malaya ketika itu walaupun hanya berusia tiga tahun, telah tampil menghantar 3,000 tentera untuk menyertai United Nations Operation in the Congo (ONUC).

Sejak itu, kerajaan Malaysia telah menyertai 39 misi pengaman PBB dan menghantar hampir 40,000 anggota keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam bagi tujuan tersebut.

Perlu ditegaskan sehingga 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-19 daripada 122 negara yang telah menghantar tentera bagi misi pengaman PBB. Malah, dalam kalangan negara Asia, Malaysia di tangga kelapan selepas Bangladesh, India, Pakistan.

Antara misi pengaman PBB yang melibatkan Malaysia ialah Protection Force di Bosnia Herzegovina, United Nations Operations in Somalia (UNOSOM II), International Force East Timor (INTERFET), International Security Assistance Force in Afghanistan (ISAF), Interim Force in Lebanon, International Monitoring Team (IMT) di Mindanao dan Transition Assistance Group di Nambia.

MISI PENGAMAN

Pengalaman Malaysia dalam misi pengaman PBB telah diberi pengiktirafan sehingga wujudnya Pusat Pengaman Malaysia atau Malaysian Peacekeeping Centre (MPC) di Port Dickson pada 1996 bagi melatih anggota keselamatan dari dalam dan luar negara yang bakal terlibat dalam misi pengaman PBB.

Malaysia terus menyokong usaha memelihara keselamatan dan keadilan antarabangsa melalui penglibatan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebanyak empat kali iaitu 1964-1965, 1989-1990, 1999-2000 dan 2015-2016.

Malaysia turut bergiat aktif dalam Perhimpunan Agung PBB dengan menyertai debat dan perbincangan mengenai isu keselamatan, ekonomi, keadilan serta sosial antarabangsa. Malah, pemimpin Malaysia sering membangkitkan isu penindasan terhadap kumpulan minoriti dan ketidakadilan seperti nasib penduduk Rohingya dan Palestin.

Lebih membanggakan, Malaysia telah diberi penghormatan oleh masyarakat antarabangsa apabila Tan Sri Razali Ismail, seorang diplomat Malaysia telah dilantik menjadi Presiden Perhimpunan Agung PBB pada 1996.

Beliau orang ketiga dari rantau Asia Tenggara selepas Adam Malik dari Indonesia dan Dr Carlos Pena Romulo dari Filipina untuk memegang jawatan tersebut.

Selain itu, Malaysia juga prihatin isu-isu hak asasi manusia antarabangsa. Malaysia telah menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia tiga kali pada 2006–2009, 2010–2013 dan 2022 hingga 2024 selepas memperoleh 183 undi ketika sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB pada 14 Oktober 2021.

Malaysia juga terlibat secara aktif dalam agensi-agensi khas PBB seperti United Nations High Commisioner for Refugees (UNHCR), United Nations Development Programme (UNDP), World Health Organisation (WHO), United Nations Children’s Fund (UNICEF) dan United Nations University (UNU).

Pada masa sama, Malaysia juga lantang mengkritik dan menggesa agar sistem PBB berusia 77 tahun itu harus mengalami transformasi dan reformasi. Ia sejajar dengan perkembangan semasa agar badan dunia itu terus relevan dan adil, khasnya berkaitan dengan sistem veto serta keahlian di Majlis Keselamatan.

Walaupun Malaysia bukan sebuah kuasa besar, namun telah banyak menyumbang dan berbakti kepada PBB. Dapat disimpulkan bahawa sumbangan Malaysia kepada PBB boleh dikategorikan kepada tiga iaitu keselamatan dan keamanan, pembangunan sosioekonomi serta hak asasi manusia.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca