SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan pada November tahun ini. Beliau berkata, keadaan cuaca di negeri-negeri pantai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan pada November tahun ini.

Beliau berkata, keadaan cuaca di negeri-negeri pantai timur pada bulan tersebut masih baik ekoran belum memasuki musim tengkujuh dan peperiksaan sekolah juga telah selesai dalam tempoh itu.

"Bagi saya, November adalah sangat sesuai kerana negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang masih belum masuk musim tengkujuh sebab kebiasaannya ia berlaku pada Disember dan Januari.

"Selain itu, saya menjangkakan SPR telah melantik lebih 400,000 petugas kali ini dan daripada jumlah itu sebanyak 80 peratus merupakan guru-guru.

"Jadi, waktu itu peperiksaan sekolah pun dah selesai sekali gus memberi keselesaan kepada guru-guru untuk menjalankan tugas ketika PRU15,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Wan Ahmad, Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan agar kerajaan yang memerintah mendapat mandat baharu daripada rakyat bagi tujuan kesinambungan pemerintahannya.

Ujar beliau, sebagai parti pemerintah, pastinya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Naib Presiden UMNO mahukan pilihan raya akan datang memberikan kemenangan kepada partinya.

"Saya rasa beliau tentu mempunyai cukup maklumat daripada akar umbi dan kerajaan pusat yang menunjukkan masa sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya.

"Untuk UMNO mengekalkan kemenangannya, parti tersebut mesti mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ini iaitu sewaktu musuh berada dalam keadaan kurang bersedia dan masih bercelaru,” ujarnya.

Mengulas mengenai petugas SPR, beliau yakin institusi itu sudah pun bersedia untuk menghadapi PRU15 kerana tahun ini sudah masuk tahun kelima dalam penggal Parlimen.

"Jadi, tidak timbul soalan pilihan raya mengejut, apabila dah masuk tahun ini, maknanya semua parti politik patut bersedia dan SPR saya kira mereka juga sudah bersedia dari segi petugas, pengalaman dan peralatan.

"Tidak ada masalah sebab ini memang tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca