DI MALAYSIA ni Belalang bukan nak kata apa lah. Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Wajib bagi kita memperlihatkan sikap sensitif terhadap sesuatu yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum lain.
Sepanjang karier Belalang sebagai penulis, Belalang telah diajar tentang etika ini semua. Kerana apa yang Belalang tulis atau komen akan dibaca dan dipantau bukan sahaja oleh bangsa Belalang sendiri tapi juga bangsa lain.
Jadi Belalang harus sensitif akan keperluan ini semua.
Ia bukan sahaja perlu wujud dalam dunia penulisan tapi juga dalam bidang-bidang lain.
Misalnya baru-baru ini, tercetus rasa tidak senang apabila model dalam satu majlis pertunjukan fesyen di ibu kota muncul dengan memperagakan pakaian yang terdedah sambil memakai songkok dan baju kebaya.
Belalang tertanya-tanya, apa keperluan berbuat demikian kerana sudah pasti ia akan mengguris perasaan orang Melayu yang meletakkan songkok sebagai sebahagian daripada pakaian dalam adat istiadat dan juga lambang keagamaan.
Di Indonesia, songkok adalah lambang adat dan budaya bukan lambang agama. Maka oleh kerana ia adalah lambang adat dan budaya maka masyarakat Kristian Batak memakai songkok ke gereja.
Di Bali, masyarakat yang beragama Hindu memakai songkok ke majlis keagamaan mereka.
Kita harus faham akan semua ini.
Di Malaysia, songkok dikaitkan bukan sahaja sebagai lambang budaya dan adat resam malah lebih jauh dari itu sebagai lambang keagamaan.
Orang Melayu dan Islam memakai songkok ketika ke masjid.
Malah dalam majlis angkat sumpah atau keramaian di Istana dan juga Parlimen, yang bukan Islam pun memakai songkok sebagai lambang pakaian dan istiadat rasmi.
Ia diterima sebagai pakaian adat dan rasmi negara ini.
Begitulah kedudukan songkok dalam budaya masyarakat kita.
Maka apabila songkok diperagakan dalam keadaan yang tak sepatutnya, orang jadi marah. Misalnya songkok diregukan dengan pakaian paras lutut. Fesyen apakah itu kita pun tak tahu.
Begitu juga dengan baju kebaya. Kita tidak menghormati kebaya apabila ia dipersembahkan dengan kain yang membelah paha sehingga menampakkan segala-galanya.
Ia adalah satu penghinaan untuk memperlakukan pakaian tradisional sebegitu rupa sekalipun atas nama fesyen.
Tidak apa untuk menjadi kreatif dengan baju kebaya serta songkok tapi menghina status ikonik pakaian tradisional Malaysia sebegitu rupa oleh warga Malaysia sendiri adalah satu ‘jenayah’ yang tak dapat dimaafkan.
Belalang - sentiasa berwaspada...
Klik di sini untuk terus membaca