ANKARA - Turkiye merupakan negara yang tidak pernah menaikkan kadar faedah pinjaman bagi mengekang kenaikan inflasi yang meningkat berikutan kesan daripada tentera Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu. Ia adalah polisi Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

ANKARA - Turkiye merupakan negara yang tidak pernah menaikkan kadar faedah pinjaman bagi mengekang kenaikan inflasi yang meningkat berikutan kesan daripada tentera Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

Ia adalah polisi Presiden negara itu, Recep Tayyip Erdogan yang tidak mahu menyusahkan kehidupan penduduknya ketika inflasi meningkat sehingga mencatatkan peningkatan kepada hampir 80 peratus pada Julai lalu.

Pada November tahun lalu, Erdogan membuat janji kepada rakyatnya dengan menyatakan bahawa kadar faedah akan terus jatuh di negara itu.

Janji tersebut ditunaikan apabila Bank Pusat Turkiye mengurangkan kadar faedah utama negara kepada 14 peratus berbanding 15 peratus pada hujung tahun lalu menyebabkan mata wang negara itu mencatatkan rekod rendah baharu iaitu 15.5 lira (RM3.81) kepada AS$1 (RM4.47) serta-merta berikutan berita itu.

Pada hujung tahun lalu juga, Erdogan mengumumkan kenaikan 50 peratus dalam gaji minimum kepada 4,250 lira (RM1,045) sebulan yang berkuat kuasa Januari tahun ini sebagai usaha untuk mengimbangi kesan kenaikan harga barangan.

Ketika itu perang di Ukraine belum berlaku lagi tetapi pada 18 Ogos lalu, Bank Pusat negara tersebut membuat keputusan mengejutkan apabila menurunkan lagi kadar kaedah kepada 13 peratus berbanding sebanyak 14 peratus sebelum ini.

Penurunan itu dibuat ketika perang di Ukraine masih berlangsung yang menyebabkan kadar inflasi meningkat tinggi sejak beberapa bulan lalu.

Namun, Bank Pusat Turkiye menyatakan pada 18 Ogos lalu bahawa ia adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan pekerjaan di tengah-tengah risiko geopolitik yang semakin meningkat.

"Adalah penting keadaan kewangan kekal menyokong momentum per-tumbuhan dalam pengeluaran perindustrian dan arah aliran positif dalam pekerjaan ketika tempoh ketidaktentuan yang semakin meningkat berhubung pertumbuhan global serta peningkatan risiko geopolitik," kata jawatankuasa dasar monetari bank itu baru-baru ini.

UMUM KENAIKAN GAJI

Bagi menangani masalah kesan perang di Ukraine ekoran inflasi yang melambung tinggi lebih 70 peratus pada Mei lalu, Erdogan sekali lagi mengumumkan kenaikan gaji minimum dinaikkan pada Julai lalu sebanyak 30 peratus kepada 5,500 lira (RM1,352) setiap bulan.

Ia adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan tenaga yang berlaku di negara berkenaan.

Walaupun tiada kenaikan kadar faedah bagi mengekang inflasi, ekonomi negara tersebut berkembang kepada 7.5 peratus dalam tempoh suku kedua tahun ini, menurut laporan Reuters pada Rabu lalu.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Nureddin Nebati menyatakan bahawa beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua akan meningkat berbanding yang telah dicatatkan pada suku pertama iaitu sebanyak 7.3 peratus.

Ekonomi Turkiye telah berkembang pada 2020 dan sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar pinjaman yang murah dan bangkit semula selepas musim pandemik Covid-19 apabila mencatatkan pertumbuhan Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) sebanyak 11 peratus pada tahun lalu.

Pengeluaran perindustrian pada Mei lalu berkembang lebih daripada yang dijangkakan dengan menunjukkan peningkatan untuk bulan ke-23 berturut-turut di sebalik kelemahan lira dan inflasi tinggi.

Pengeluaran perindustrian berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Mei, kata Institut Statistik Turkiye baru-baru ini.

Kenaikan tahunan terbesar dilihat dalam sektor perkhidmatan yang melonjak 167 peratus, diikuti oleh perindustrian dengan 133.5 peratus dan perdagangan sebanyak 118.7 peratus, menurut institut statistik itu.

Jumlah dagangan dalam sektor pembinaan melonjak 119.9 peratus pada bulan tersebut.

Jualan makanan, minuman dan tembakau meningkat sedikit iaitu 0.1 peratus, manakala jualan bukan makanan kecuali bahan api automotif telah meningkat 1.8 peratus.

Kemasukan pelancong asing penting buat Turkiye kerana ia akan menjana ekonomi negara itu.

Pelancong asing yang memasuki Turkiye melonjak 53 peratus pada Julai lalu berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuka jalan bagi hasil pelancongan sebanyak AS$37 bilion (RM165.30 bilion) yang dicari oleh kerajaan bagi menyokong dasar ekonomi Erdogan.

Pelawat asing ke negara itu melonjak kepada 6.67 juta orang pada Julai lalu dengan ramai yang datang dari Rusia dan memilih Turkiye disebabkan oleh sekatan penerbangan yang dikenakan negara-negara Barat selepas Rusia menyerang Ukraine.

Malah, bilangan pelawat dari Jerman dan Britain turut meningkat.

SETUJU GUNA RUBLE

Pendapatan pelancongan adalah penting kerana rancangan ekonomi Erdogan memberi tumpuan kepada mengembangkan lebihan akaun semasa untuk menangani inflasi dan kadar faedah yang tinggi.

Naib Pengerusi Persekutuan Pengusaha Hotel Turki (TUROFED), Bulent Bulbuloglu dilaporkan berkata, warga Rusia yang kaya dan pernah melakukan perjalanan ke destinasi lebih mahal seperti Sepanyol, Perancis, Itali serta Greece juga telah beralih kepada ke Turkiye kerana sekatan penerbangan oleh negara-negara Barat.

Erdogan sebelum ini menjalinkan hubungan yang baik dengan Rusia dan tidak meminggirkan negara tersebut.

Tidak seperti yang dilakukan oleh negara-negara Barat kerana mengadakan sekatan ke atas Moscow, Erdodan baru-baru ini bersetuju untuk menggunakan mata wang Rusia iaitu ruble dalam perdagangan antara kedua-dua negara, sekali gus menguntungkan kedua-dua pihak.

Alasan Erdogan tidak mahu menaikkan kadar faedah kerana ia bukannya satu keperluan untuk negara tersebut, sebaliknya peningkatan dalam pelaburan, pekerjaan, pengeluaran, eksport dan lebihan akaun semasa yang diperlukan oleh Turkiye.

Negara berkenaan akan menetapkan dasar ekonominya berdasarkan kepentingan dan keperluannya sendiri, kata Presiden itu beberapa hari lalu.

Turkiye mungkin akan menjadi model kepada negara-negara lain kerana berjaya mengurus ekonomi dengan tidak menaikkan kadar pinjaman.

Klik di sini untuk terus membaca