SEKIRANYA ditanya satu persamaan dikongsi oleh Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jawapannya, kesemua figura politik ini mempunyai anak perempuan yang setia mendukung kisah perjuangan... Klik di sini untuk terus membaca

SEKIRANYA ditanya satu persamaan dikongsi oleh Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jawapannya, kesemua figura politik ini mempunyai anak perempuan yang setia mendukung kisah perjuangan masing-masing.

Di saat terpalit pelbagai skandal, kontroversi serta kes mahkamah, Nooryana Najwa Najib (Yana Najib), Nurul Izzah Anwar dan Nurul Hidayah Ahmad Zahid umpama ‘puteri’ yang tampil berani mempertahankan maruah bapa mereka walaupun ditimpa masalah.

Buktinya, Yana Najib tampil di pentas UMNO ketika taklimat khas Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Berdiri di hadapan ratusan penyokong parti keramat tersebut, suasana Dewan Merdeka bertukar sedih apabila Yana mula membacakan surat kiriman bapanya dari Penjara Kajang.

Antara isi surat menzahirkan keadaan bapanya di penjara selain luahan bekas Perdana Menteri keenam itu selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU14) dan bagaimana beliau cuba membina semula parti UMNO sebagai parti yang kuat walaupun berdepan cabaran.

Najib - Foto Bernama

Najib kini menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung penyelewengan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Selain berucap di pentas, Yana juga sempat meluahkan permohonan maaf di Instagram kepada Najib yang dipanggil ‘daddy’ kerana berasa tidak cukup kuat melawan dan berusaha serta terlalu meletakkan kepercayaan kepada sistem kehakiman.

Namun Yana berjanji akan berusaha membawa pulang bapanya ke pangkuan keluarga dengan selamat serta berharap keadilan dapat ditegakkan.

Beralih kepada seorang lagi ‘puteri’ yang membela nasib bapanya setelah dilanda kontroversi besar, pasti kita tidak dapat melupakan nama Nurul Izzah Anwar.

Pernah bergelar Puteri Reformasi, Nurul Izzah, 42, melalui detik paling sukar dalam hidupnya pada tahun 1998 apabila bapa tercinta yang juga Timbalan Perdana Menteri waktu itu ditahan polis atas tuduhan salah laku seksual dan salah guna kuasa sehingga akhirnya terpaksa meringkuk di dalam penjara selama lebih 10 tahun.

Biarpun usianya masih terlalu muda pada ketika itu, ia tidak menjadi penghalang untuk Nurul Izzah berjuang bersama-sama ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta ribuan penyokong di jalanan bagi menuntut pembebasan Anwar sehingga tercetusnya gerakan Reformasi 1998.

Anwar

Tidak terhenti di situ, Nurul Izzah juga dilaporkan pernah berjumpa Presiden Filipina, Joseph Estrada bagi meminta bantuan membebaskan bapanya. Ternyata, anak sulung Anwar itu menjadi sumber kekuatan buat keluarganya selama Anwar di penjara.

Istimewanya lagi, kelebihan Nurul Izzah tidak hanya terletak pada paras rupa yang menawan tetapi beliau juga mewarisi DNA politik bapanya sehingga bergelar Ahli Parlimen Lembah Pantai dan kemudiannya Ahli Parlimen Permatang Pauh susulan kemenangan pada PRU14 tahun 2018.

Kini, beliau juga memegang jawatan Naib Presiden PKR.

20 tahun kemudian, kisah perjuangan seorang ‘puteri’ yang membela nasib ayahnya kembali berulang, kali ini menampilkan Nurul Hidayah yang merupakan anak sulung kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun 2018, nama Nurul Hidayah, 43, menjadi tumpuan ramai apabila beliau tampil beremosi ketika berucap di hadapan penyokong dan petugas media susulan penahanan bapanya berhubung dakwaan 45 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam ucapan tersebut, Nurul Hidayah berkata dirinya tidak sedih sebaliknya lebih kepada geram dan kecewa selain mempersoalkan di mana pejuang-pejuang reformasi ketika bapanya ditangkap.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta oleh mahkamah.

Ahmad Zahid

Pasti bukan mudah untuk mempunyai bapa yang juga individu berpengaruh dalam politik apatah lagi jika dilanda kes mahkamah yang sudah pasti menjejaskan imej dan kredibiliti namun sebagai seorang anak, perjuangan ketiga-tiga 'puteri' ini boleh disimpulkan sebagai sebagai tanda kasih-sayang kepada seorang insan bergelar bapa.

Meskipun dilempar cacian dan hinaan daripada orang lain namun tidak sedikit menggoncang keyakinan mereka terhadap bapa masing-masing.

Klik di sini untuk terus membaca