SHAH ALAM - Pakar psikiatri mendedahkan penyakit kardiovaskular seperti kencing manis dan darah tinggi adalah antara sembilan faktor yang boleh meningkatkan risiko nyanyuk atau demensia pada usia muda.
Selain dua penyakit itu, faktor lain ialah keturunan atau genetik, masalah kemurungan kronik, penggunaan alkohol, pengambilan dadah, kolesterol tinggi yang tidak terkawal, strok dan kecederaan kepada otak (traumatic brain injury) juga turut menyumbang kepada penyakit tersebut.
Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Muna Hamiza Asiff berkata, secara umumnya nyanyuk atau demensia bukanlah satu penyakit yang khusus tetapi adalah istilah umum yang menunjukkan tanda-tanda perubahan dari sudut terjejas keupayaan untuk mengingat, berfikir dan membuat keputusan.
"Orang yang simptomnya bermula semasa mereka berumur di bawah 65 tahun selalunya dikenali sebagai ‘orang muda yang mengalami demensia’ atau mengalami demensia permulaan masa muda.
"Demensia pada usia muda mungkin juga boleh menyebabkan masalah dengan pergerakan, berjalan, koordinasi atau keseimbangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, antara tanda-tanda awal seseorang itu mengalami nyanyuk ialah sukar untuk melakukan tugas yang dahulunya biasa dilakukan, kelakuan yang berulang-ulang, tidak boleh berfikir dengan jelas, tidak dapat menumpukan perhatian dan sebagainya.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa bentuk rawatan awal yang boleh diambil untuk mengelak masalah nyanyuk daripada menjadi lebih serius.
"Antaranya, elakkan penggunaan alkohol dan dadah terlarang, dapatkan rawatan awal untuk penyakit kardiovaskular.
"Selain itu, sekiranya terdapat tanda-tanda nyanyuk dapatkan penilaian awal serta jalankan gaya hidup sihat seperti bersenam dan pemakanan seimbang dan sihat,” katanya.
Sementara itu, Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Management & Science University (MSU), Profesor Dr Zulkilfi Ghaus berkata, kebiasaannya ahli keluarga atau pasangan dapat mengenal pasti gejala awal nyanyuk yang dialami.
Jelasnya, bagi mengelak demensia pada usia muda menjadi lebih teruk, individu yang berisiko disaran segera melakukan pemeriksaan kesihatan.
Beliau berkata, antara pemeriksaan yang boleh dilakukan ialah seperti melihat sejarah penyakit yang lengkap dan tepat daripada keluarga, pemeriksaan fizikal, ujian untuk mengetahui fungsi kognitif dan sebagainya.
"Sebagai kesimpulan, individu, keluarga, pasangan atau penjaga yang selalu berada dengan individu tersebut mesti sensitif dan kenal pasti gejala awal.
"Sekiranya sudah melihat tanda-tanda awal, segera datang berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sekiranya perlu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca