SHAH ALAM - Ada ahli keluarga tergamak ‘membuang’ ibu bapa dan pasangan setelah mereka jatuh sakit dan nyanyuk, demikian luah Pengurus Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas di Puchong dekat sini, Mohd Arif Abdullah Azman.
Mohd Arif Abdullah berkata, salah seorang penghuni di pusat jagaannya, Mak Cik Aminah (bukan nama sebenar) yang mengalami demensia kerap mengulangi kata-kata dia ingin pulang ke rumah selain rindukan keluarga."Ingatan dia tidak berapa jelas. Dia juga kerap mengulang kata-kata tertentu.
"Saya difahamkan dia ada sembilan anak tetapi tiada seorang pun yang sanggup menjaganya, malah tergamak meninggalkan wanita emas itu di sebuah hospital di Kuala Lumpur sejak enam tahun lepas.
"Kemudian pihak hospital menghubungi pusat jagaan kami untuk menempatkan Mak Cik Aminah di sini. Sehingga kini kami masih lagi menguruskan wanita tersebut yang bukan sahaja alami masalah demensia bahkan terlantar di katil kerana tidak boleh berjalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Mohd Arif Abdullah lagi, pekerja di pusat jagaan perlu menguruskan segala keperluan termasuk memandikan wanita tersebut memandangkan tahap kesihatannya yang semakin lemah dan uzur.
Daripada 45 warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan kendalian beliau, 12 orang adalah warga emas mengalami masalah demensia.
Mohd Arif Abdullah turut berkongsi kisah seorang lagi penghuni pusat jagaan tersebut, Pak Cik Abdul (bukan nama sebenar) yang menghidap penyakit Parkinson dan nyanyuk yang ditinggalkan isterinya di pusat jagaan tersebut.
"Pak Cik Abdul ini berusia dalam lingkungan 60-an. Dia ialah seorang pesara kerajaan dan dia dihantar ke sini oleh isterinya pada tahun 2016.
"Bagaimanapun sehingga sekarang isteri Pak Cik Abdul tidak ambil dia dari pusat jagaan ini.
"Keadaan dia yang nyanyuk dan ditambah lagi dengan penyakit Parkinson menyebabkan mentalnya tidak stabil sehingga sampai satu tahap dia melumurkan badannya dengan najis sendiri,” jelas Mohd Arif Abdullah.
Menurutnya, kesabaran adalah kunci utama untuk menjaga warga emas yang nyanyuk kerana mereka perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan rapi tanpa mengabaikan atau mengasingkan mereka.
"Menguruskan warga emas yang nyanyuk tidak sama dengan warga emas lain. Mereka ini ada mood tertentu. Ada masa mereka dalam keadaan baik dan bercakap secara normal tetapi selepas itu mereka mula lupa dan kerap bertanya soalan sama berulang kali.
"Sememangnya menjaga mereka memerlukan kesabaran yang tinggi lebih-lebih lagi mereka keseorangan dan berjauhan daripada keluarga” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca