SHAH ALAM - Tindakan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa wujud ketidakadilan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak diberi penangguhan bagi kes rayuan akhir, dilihat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa wujud ketidakadilan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak diberi penangguhan bagi kes rayuan akhir, dilihat berbaur menghina mahkamah dan boleh diambil tindakan.

Peguam veteran, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dakwaan itu dibangkitkan Muhammad Shafee ketika memberi penjelasan berhubung kes Najib semasa Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Beliau berkata, umumnya tidak salah Muhammad Shafee yang juga bekas peguam Najib untuk hadir memberi penjelasan daripada perspektif anak guamnya itu dan UMNO bagi kes tersebut walaupun di pentas politik.

"Tidak salah untuk memberi kefahaman kepada orang ramai tentang sesuatu kes tetapi jika ada mana-mana bahagian dalam penjelasan itu berbaur menghina mahkamah, ia boleh diambil tindakan.

"Ada bahagian yang disebut Shafee menyentuh konon keputusan mahkamah tidak beri penangguhan secara khusus menjadi satu ketidakadilan kepada Najib dan pada pandangan secara objektif, ia berbaur menghina mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhammad Shafee ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO dilihat menggunakan pentas politik itu untuk mengkritik institusi mahkamah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri berkata, dari sudut perundangan bagi kes berbaur menghina mahkamah itu, pihak pendakwa raya iaitu Peguam Negara boleh membuat permohonan untuk tujuan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah di Mahkamah Persekutuan secara terus.

Menurutnya, kes tersebut juga boleh dibawa ke mahkamah jika ada mana-mana individu membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhammad Shafee.

"Kalau ada mana-mana individu atau pihak membuat laporan polis, maka polis wajar memajukan laporan itu terus kepada pendakwa raya untuk dilakukan prosiding menghina mahkamah.

"Polis tak perlu siasat kerana ini bukan proses penyiasatan polis biasa. Ini berkaitan prosiding di mahkamah. Jadi kalau dapat laporan, boleh terus majukan kepada pendakwa raya atau orang yang buat laporan itu boleh mengambil satu salinan laporan dan majukan kepada pendakwa raya.

"Ia bagi membolehkan pendakwa raya membuat permohonan penghinaan mahkamah,” jelas beliau.

Mohamed Haniff Khatri berkata, dalam taklimat itu, seorang lagi bekas peguam Najib, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan beberapa pemimpin UMNO lain iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahmad Maslan turut menyentuh kes Najib.

"Bukan sahaja Shafee tetapi jika kenyataan Zaid, Azalina atau Ahmad mengatakan penghakiman kes Najib tidak adil, maka tindakan juga boleh diambil.

"Seandainya ada kenyataan mereka yang berbaur menghasut rakyat, maka itu adalah bidang kuasa polis untuk menyiasat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, polis boleh melakukan siasatan di bawah Kanun Keseksaan atas cubaan menghasut dan menimbulkan kemarahan terhadap sistem kehakiman negara, atau di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atas kesalahan menjatuhkan martabat dan menaikkan kemarahan terhadap sistem keadilan negara.

Klik di sini untuk terus membaca