Penyelenggaraan bangunan boleh ditakrifkan sebagai satu proses membaik pulih bangunan kepada keadaan yang baik dan sesuai digunakan. Pada peringkat reka bentuk, perkara ini kurang dipandang serius kerana fokus hanya pada reka bentuk dan pembinaan sahaja.
Penyelenggaraan bangunan merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng. Hal ini disebabkan kerana peringkat penyelenggaraan merupakan tempoh yang paling lama dalam kitaran hayat bangunan.
Antara kepentingan penyelenggaraan bangunan termasuklah, memanjangkan jangka hayat bangunan, meningkatkan kepuasan pengguna, meningkatkan keselamatan dan menjimatkan kos.
Satu per tiga kos penyelenggaraan dapat dijimatkan sekiranya aspek penyelenggaraan diambil kira pada peringkat reka bentuk. Sehubungan dengan itu, adalah sangat penting untuk tidak mengabaikan aspek penyelenggaraan bangunan pada peringkat ini.
Dalam memastikan penyelenggaraan bangunan dilakukan secara proaktif, pihak terlibat reka bentuk bangunan seharusnya menekankan aspek penyelenggaraan bangunan yang boleh diterapkan sebagai praktis amalan baik.
Antara perkara yang perlu ditegaskan termasuklah, kualiti bahan pembinaan, reka bentuk bangunan, kualiti pembinaan dan sebagainya.
Aspek-aspek ini akan memberikan impak yang positif untuk jangka masa panjang, fokusnya di peringkat penyelenggaraan kelak. Selain itu juga, penglibatan pakar penyelenggaraan bangunan di peringkat reka bentuk adalah digalakkan untuk turut sama berbincang bagi memastikan aspek penyelenggaraan bangunan tidak dilupakan.
Pakar penyelenggaraan bangunan pada peringkat ini bertujuan untuk memberikan input, dan pandangan yang boleh dilakukan sewaktu peringkat reka bentuk, mahupun selepas bangunan siap dibina.
Sebagai contoh input berkaitan dengan kualiti bangunan manakala strategi penyelenggaraan lebih kepada setelah bangunan siap dibina.
Di samping itu juga, akses untuk melakukan aktiviti penyelenggaraan kurang diberi perhatian sewaktu peringkat reka bentuk. Hal ini menyebabkan aktiviti penyelenggaraan sangat sukar untuk dilakukan berikutan tiada akses kepada tempat tersebut.
Sebagai contoh akses kepada kerja-kerja pembersihan di bahagian fasad kaca bangunan memerlukan gondola ataupun laluan khas untuk memastikan keselamatan pekerja terjamin.
Hal ini bertambah sukar apabila reka bentuk bangunan tidak mesra dengan aktiviti penyelenggaraan, menyebabkan aktiviti penyelenggaraan bangunan mengambil masa yang panjang untuk dilakukan, akibatnya menjejaskan jangka hayat bangunan dan kepuasan pengguna.
Peringkat reka bentuk merupakan peringkat yang sangat penting, kerana setiap keputusan yang dibuat pada peringkat ini akan memberikan kesan kepada bangunan pada masa akan datang.
Justeru, wajarlah sekiranya aspek penyelenggaraan bangunan pada peringkat ini dibincangkan. Jika tidak, bangunan akan menjadi lebih cepat untuk rosak, seterusnya memberikan kesan yang negatif kepada pengguna.
Selain dari aspek yang dinyatakan di atas, perkara lain yang turut memberi kesan kepada aktiviti penyelenggaraan apabila bangunan siap dibina ialah kurangnya pengetahuan berkenaan penyelenggaraan bangunan.
Pihak yang terlibat semasa peringkat reka bentuk perlu ada pengetahuan berkenaan penyelenggaraan apabila menyediakan reka bentuk bangunan.
Sebagai contoh, kualiti setiap bahan binaan yang digunakan adalah berbeza bergantung kepada jenis dan ketahanan.
Oleh itu, penyelenggaraan bangunan pada peringkat reka bentuk adalah sangat penting bagi memastikan bangunan yang dibina berkualiti serta selamat.
Sekiranya perkara ini diambil serius, nescaya kos penyelenggaraan akan dapat dikurangkan, bangunan yang dibina lebih berkualiti, aktiviti penyelenggaraan akan menjadi lebih mudah dan akan meningkatkan keselesaan serta kepuasan pengguna.
* Muhammad Haziq Md Anuar merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur (FSPU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Klik di sini untuk terus membaca