SHAH ALAM - Semua Ahli Parlimen BN dan UMNO tetapkan akan menyokong Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada bulan depan, biarpun pelbagai isu dan kemelut politik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua Ahli Parlimen BN dan UMNO tetapkan akan menyokong Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada bulan depan, biarpun pelbagai isu dan kemelut politik melanda negara muktahir ini.

Ini kerana Belanjawan 2023 amat penting bukan hanya untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) meneruskan kelangsungan hidup, malah ia membantu pemulihan dan kemajuan ekonomi negara, pasca pandemik Covid-19.

Berikutan itu penganalisis politik menolak andaian sesetengah pihak bahawa BN dan UMNO akan menggunakan taktik menolak Bajet 2023 sebagai kaedah terakhir untuk mendesak Perdana Menteri mempercepatkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, jika UMNO berbuat demikian maka mereka bukan hanya ditolak oleh golongan B40 dan M40, malah tidak mustahil parti berkenaan akan diboikot oleh penyokong tegar sendiri.

Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, BN tidak akan berbuat demikian kerana mereka hanya mempunyai kira-kira 40 Ahli Parlimen termasuk separuh daripadanya masih menyokong Ismail Sabri.

Justeru, Dr Mazlan berkata, Perdana Menteri dijangka tiada masalah besar untuk meluluskan Belanjawan 2023 biarpun tanpa sokongan separuh Ahli Parlimen BN sendiri.

DR MAZLAN

Ini kerana Ahli Parlimen Bera itu masih mendapat majoriti sokongan wakil rakyat lain di Dewan Rakyat termasuk daripada blok pembangkang selepas menandatangan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai lebih 90 wakil rakyat.

"Saya percaya Ismail Sabri tetap akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen parti gabungan kerajaan sedia ada dan pembangkang untuk meluluskan Bajet 2023.

"Saya juga yakin jika Ismail Sabri telus dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang dan UMNO sendiri dalam penggubalan dan pembentangan Bajet 2023 maka, sudah pasti belanjawan akan mendapat sokongan padu semua ahli Dewan Rakyat nanti," ketika kepada Sinar Premium.

Mazlan juga mencadangan Ismail Sabri yang kini menghadapi tekanan kuat daripada UMNO supaya mewujudkan satu MoU baharu dengan PH bukan hanya untuk memastikan Bajet 2023 diluluskan oleh Parlimen, malah melaksanakan pelbagai perkara lain dalam tempoh setahun lagi.

TIDAK BERANI GAGALKAN KERAJAAN

Penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, Ahli Parlimen BN dan UMNO tidak berani untuk menggagalkan Belanjawan 2022 kerana pertama, mereka bukan golongan majoriti dan hanya ada kira-kira 18 daripada 207 wakil rakyat termasuk 117 penyokong kerajaan dan 90 wakil rakyat dari PH.

CHIN HUAT

Chin Huat berkata, kedua, jika mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri yang ingin melawan Belanjawan kerajaan mereka sendiri perlu meletak jawatan terlebih dahulu dan ramai tidak sanggup.

Ismail Sabri cuma perlu ambil dua langkah iaitu pertama, mengambil pendirian tetap bahawa proses belanjawan dibentang, dibahas dan diluluskan. Poses belanjawan ini tidak boleh dipatahkan untuk mengadakan PRU.

"Kedua, para pemegang taruh dan orang awam mesti dilibatkan secara bermakna dalam libat urus dalam enam minggu akan datang supaya ekspatasi orang awam untuk melihat kelulusan Belanjawan ini menyedarkan Ahli Parlimen UMNO untuk tidak menjadi penghalang," katanya.

Dalam pada itu, Chin Huat berkata, Perdana Menteri PM tidak perlu menandatangani MOU 2.0 dengan pembangkang kecuali jika UMNO di Putrajaya memecat Ismail atau menarik balik sokongan secara rasmi, sehingga jajaran baru diperlukan.

"PM cuma perlu berani dan tegas menjalani reformasi serta meneruskan 'kestabilan bermusyawarah' dengan pendekatan rentas partinya," katanya.

AHMAD JAZLAN

TAK MUNGKIN TOLAK

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, BN dan UMNO tidak mungkin menolak bajet 2023 kerana ia amat penting bukan hanya untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan negara, malah kelangsung hidup golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19, sejak Mac 2020.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu menegaskan, ini kerana isu UMNO mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen secepat mungkin dan soal Belanjawan 2023 adalah dua perkara berbeza.

"Walaupun Parlimen dibubarkan lebih awal atau tidak tetap Belanjawan 2023 tetap akan wajib dibentangkan di Dewan Rakyat sama ada oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri atau orang lain.

"Jadi bagi Ahli Parlimen tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, kita mahu melihat hala tuju Belanjawan 2023. Oleh itu, saya berkeyakinan penuh bahawa Perdana Menteri akan memberi tumpuan khusus kepada perkara melibatkan usaha meningkatkan kesahteraan rakyat, mengawal kenaikkan harga barang dan mengurangkan kesempitan hidup rakyat.

"Saya juga percaya semua ahli Parlimen penyokong kerajaan mahu pun pembangkang akan membahaskan pelbagai perkara bagi menambah baik Belanjawan 2023," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca