SHAH ALAM - Sejak seminggu lalu, timbul pelbagai spekulasi mengenai pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan akan dibentangkan lebih awal, pada 7 Oktober depan berbanding kebiasaannya, Jumaat terakhir bulan sama. Terbaharu, timbul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejak seminggu lalu, timbul pelbagai spekulasi mengenai pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan akan dibentangkan lebih awal, pada 7 Oktober depan berbanding kebiasaannya, Jumaat terakhir bulan sama.

Terbaharu, timbul cakap-cakap kononnya Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sendiri bukannya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, seperti tahun lalu.

Lebih panas lagi, apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa Belanjawan kali ini tidak mempunyai perbahasan kerana Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen terus keesokan harinya iaitu pada 8 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan Belanjawan 2023 memang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022.

Bagaimanapun, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong, Sarawak, enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen nanti.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu (Perdana Menteri akan bentangkan Bajet 2023 dan tiada perbahasan) dan siapa bentangkan. Tetapi apa yang pasti Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022 (Rabu depan) bukannya akhir bulan ini," katanya dalam jawapan ringkas kepada Sinar Premium.

WAN JUNAIDI

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa Perdana Menteri dijangka mengambil alih tanggungjawab Menteri Kewangan untuk membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada 7 Oktober ini.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, cadangan Perdana Menteri mahu membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, pada 7 Oktober ini adalah tidak menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan biarpun ia di luar adat atau kelaziman.

Haniff Khatri berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak menetapkan secara khusus mengenai siapakah yang sepatutnya membentangkan belanjawan tahunan kerajaan di Parlimen.

"Memang menjadi adat atau kebiasaannya Menteri Kewangan akan membentangkan bajet, namun tidak salah jika Perdana Menteri mahu berbuat demikian kerana tiada peraturan khusus termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan siapa perlu membentangkan belanjawan di Dewan Negara.

"Prosedur pembentangan belanjawan atau Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan adalah sama dengan pembentangan akta lain di mana Menteri atau Timbalan Menteri atau Menteri di JPM atau Perdana Menteri boleh membentangkannya berdasarkan keperluan dan keadaan tertentu," katanya kepada Sinar Premium.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendakwa langkah tersebut menunjukkan Ismail Sabri mungkin membubarkan Parlimen tidak lama lagi dan tiada perbahasan belanjawan berlangsung pada sidang Dewan Rakyat akan datang, yang akan bermula tiga minggu lebih awal pada 3 Oktober.

"Saya dimaklumkan rakan kabinet kata Perdana Menteri nak bentangkan bajet. Yang biasa bajet dibentang Menteri Kewangan, itu satu. Biasanya dibentangkan pada hujung Oktober. Sekarang ini nak dibentang oleh Perdana Menteri.

"Kedua diawalkan pada 7 Oktober. Cuba tanya kenapa buat begitu? Saya yang tak berapa cerdik ni, saya fikir kemungkinan besar selepas 7 Oktober bentang, tidak ada perbahasan bajet di parlimen, sebab besoknya parlimen akan dibubarkan. Macam mana? Ya atau tidak apa saya sebut tak penting. Tapi yang penting pilihan raya tak berapa lama lagi," kata Muhyiddin.

Mengikut amalan kebiasaan, belanjawan dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan kadangkala tugas itu diambil alih oleh Perdana Menteri jika beliau mengetuai Kementerian Kewangan, namun Ismail Sabri tidak memegang portfolio berkenaan.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengesahkan Mesyuarat Kabinet Rabu lalu memutuskan Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober akan dibentang tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober ini.

Klik di sini untuk terus membaca