KUALA LUMPUR – Mahkamah sekali lagi mencuri tumpuan apabila tiga keputusan kes berprofil tinggi akan diketahui pada minggu pertama September ini. Ia membabitkan kes meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah RM6.5 juta membabitkan Datin... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR – Mahkamah sekali lagi mencuri tumpuan apabila tiga keputusan kes berprofil tinggi akan diketahui pada minggu pertama September ini.

Ia membabitkan kes meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah RM6.5 juta membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 1 September.

Keesokan harinya, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, akan memberi keputusan kes rasuah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Sementara di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pula, tiga panel hakim akan membuat keputusan berhubung rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengetepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pastinya, tumpuan akan lebih terarah kepada keputusan kes Rosmah, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan suaminya, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bagi kes Ketua UMNO Sabah dan isterinya pula, nasib sama ada dilepas atau diminta untuk membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui 2 September ini.

Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob akan membaca keputusannya selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan pada 24 Jun lalu.

Kes ini amat menarik kerana pihak pendakwaan sebelum ini pernah memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya.

Mereka menganggap saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, belot ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan Zizie Izette.

Bung Moktar dan Zizie Ezzete

Menurut pendakwaan, terdapat percanggahan antara keterangan saksi di mahkamah dengan rakaman percakapan yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Norhaili semasa pemeriksaan utama oleh pendakwaan sebelum ini mengekalkan keterangannya pada 27 Januari lepas bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta, memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Azeez Rahim

Selepas beberapa kali tertangguh, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh akhir keputusan rayuan Abdul Azeez berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram pada 5 September depan.

Alasan yang digunakan dalam prosiding terdahulu ialah Ahli Parlimen Baling itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana sakit perut.

Apa sahaja keputusan mahkamah kelak, ia bakal mewarnai arena politik tanah air.

Klik di sini untuk terus membaca