PADA Disember 2017, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) memulakan program Artemis yang membolehkan negara itu memulakan misi ke bulan yang terletak sejauh 384,400 kilometer (km) dari bumi... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Disember 2017, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) memulakan program Artemis yang membolehkan negara itu memulakan misi ke bulan yang terletak sejauh 384,400 kilometer (km) dari bumi ketika negara itu di bawah pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump.

Sehubungan itu, roket baharu gergasi dikenali sebagai Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) dijadualkan berlepas ke bulan pada 29 Ogos lalu dengan membawa kapsul Orion diuji sama ada ia selamat digunakan selepas dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida tanpa membawa seorang pun angkasawan.

Dalam misi pertama yang dikenali sebagai Artemis 1 itu, salah satu objektif utamanya adalah untuk menguji pelindung haba kapsul tersebut yang berdiameter 4.87 meter dan yang terbesar pernah dibina kerana apabila kembali ke atmosfera bumi, ia perlu menahan kelajuan kira-kira 40,233 kilometer sejam dan suhu setinggi 2,760 darjah Celsius iaitu separuh panas daripada matahari.

Kamera akan menangkap setiap detik penerbangan selama 42 hari itu termasuk gambar kapsul yang mana tiga patung diletakkan di dalamnya dan ia akan mengorbit mengelilingi bulan dalam jarak terdekatnya sejauh kira-kira 100km sebelum menyalakan enjinnya untuk berada pada jarak 64,373km darinya.

Patung-patung itu dipasang dengan penderia merakamkan tahap pecutan, getaran dan sinaran manakala satelit kecil akan digunakan untuk mengkaji permukaan bulan itu dengan kos bagi setiap pelancaran dalam program tersebut ialah AS$4.1 bilion (RM18.41 bilion).

Bagaimanapun, NASA menangguhkan misi pelacaran tersebut disebabkan oleh masalah enjin menyebabkan satu lagi pelancaran dengan menggunakan roket yang sama pada 2 September depan.

MISI KEDUA

Dalam misi kedua dikenali sebagai Artemis 2, seramai empat angkasawan dijangka berada di dalam kapsul itu yang akan mengelilingi bulan tetapi ia tidak akan melakukan sebarang pendaratan pada tahun 2024.

China menghantar kenderaan penjelajah sebanyak dua kali di bulan pada tahun 2013 dan 2019. - Foto CNSA/CNS/AFP

Namun, dalam misi Artemis 3, seorang angkasawan wanita AS yang bukan berkulit putih dan seorang angkasawan lelaki dijadualkan akan turut mendarat bersamanya di kutub selatan bulan itu seawal-awalnya pada tahun 2025.

Kali terakhir angkasawan AS menjejak kaki ke bulan ialah pada 12 Disember 1972 iaitu hampir 50 tahun lalu melalui program Appolo 17 apabila Komander Gene Cernan dan juruterbang kapal angkasa Lunar, Harrison Schmitt berjalan di bulan.

Sebelum itu, angkasawan NASA, Neil Armstrong dan Edwin 'Buzz' Aldrin menjadi manusia pertama yang pernah mendarat di bulan sebelum Armstrong menjadi orang pertama di dunia yang berjaya berjalan kaki di permukaannya pada 20 Julai 1969.

Kesatuan Soviet pula menghantar kenderaan rover pertamanya Lunokhod 1 yang berjaya meneroka bulan setelah tiba pada 17 November 1970 melalui kapal angkasa pendaratan Luna 17 dan dikawal dari jarak jauh di negara tersebut,

Kenderaan itu pernah mengembara lebih daripada 10km dalam tempoh 10 bulan sahaja.

Selepas tahun 1972 itu tidak ada seorang pun angkasawan dari AS yang menjejakkan kaki ke permukaan bulan atau misi ke sana yang dilakukan oleh NASA.

Namun, pada tahun 1976, Kesatuan Soviet yang mengamalkan pemerintahan komunis dan kini telah dibubarkan serta dikenali sebagai Rusia telah melakukan pendaratan di bulan pertama melalui kapal angkasa robotik Luna 24 yang mengambil sampel tanah di permukaan sebelum kembali ke bumi pada Ogos 1976.

Bagaimanapun, sebelum agensi angkasa lepas AS melancarkan semula misi itu, China terlebih dahulu menghantar kapal angkasanya, Chang'e 3 mendarat dengan selamat di permukaan bulan pada Disember 2013 tanpa dikendalikan oleh manusia.

Ia membawa kenderaan penjelajah enam roda yang dipanggil Yutu yang bermaksud Arnab Jade ke tempat pendaratannya di dataran rata yang dikenali sebagai Sinus Iridum atau Teluk Pelangi selepas berlegar-legar di atas permukaan bulan selama beberapa minit sebelum memilih tempat pendaratan terbaik.

Sebuah lagi kapal angkasa lepas China, Chang'e 4 yang membawa kenderaan penjelajah, Yutu 2 mendarat di Kawah Von Kármán pada 2 Januari 2019 dengan misi robotik dan meneroka kawasan unik di permukaan bulan.

Menjelang tahun 2030, China menyasarkan untuk mendaratkan angkasawannya yang dikenali di China sebagai Taikonauts di di bulan.

Pereka dan jurutera program bulan negara itu, Ye Peijian pernah memberitahu stesen penyiaran CCTV bahawa selagi penyelidikan teknologi untuk pendaratan anak kapal diteruskan angkasawan China akan mendarat di bulan menjelang tahun 2030.

PERLUMBAAN BAHARU

Kini terdapat perlumbaan baharu angkasa lepas dengan penyertaan China apabila Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata kepada akhbar Jerman Bild pada Julai lalu bahawa negaranya sangat bimbang bahawa China mendarat di bulan.

Kedua-dua AS dan China mengetuai usaha perlumbaan untuk membina pangkalan di kutub selatan bulan yang kaya dengan ais pada tahun 2030-an.

China mengumumkan rancangan pada tahun lepas untuk membina Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa dengan Rusia manakala lebih 20 buah negara telah menandatangani program Artemis yang diketuai AS untuk meneroka bulan.

Berikutan kegagalan roket SLS ke bulan pada Isnin lalu, adakah AS mampu untuk melancarkan semula misi ke bulan pada bulan depan? – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca