KUALA LUMPUR – Nasib Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau didapati bersalah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion diketahui Khamis ini. Keputusan akhir kes pembelaan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR – Nasib Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau didapati bersalah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion diketahui Khamis ini.

Keputusan akhir kes pembelaan itu akan disampaikan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam jangkaan seawal jam 9 pagi.

Ia selepas pihak pembelaan menutup kesnya pada 23 Februari lalu, setelah memanggil dua saksi iaitu Rosmah sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari 2020.

Pada 11 Disember 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor; bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Kemudian pada 18 Februari 2021 Rosmah diarah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

KRONOLOGI KES ROSMAH

15 November 2018

Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah diikat jamin sebanyak RM1 juta. Kes dipindah ke Mahkamah Tinggi pada 15 Mac 2019.

15 November 2018

Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah membabitkan projek itu.

10 April 2019

Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan beliau mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung projek sama. Pada 28 Jun, kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

8 Januari 2020

Mahkamah Tinggi membebaskan Rizal daripada empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek solar itu.

5 Februari 2020

Rosmah hadir ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya.

11 Disember 2020

Selepas 23 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan menutup kes itu dah mahkamah menetapkan 10 Februari untuk hujahan kes.

10 Februari 2021

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 18 Februari untuk keputusan kes sama ada dibebaskan atau diminta untuk membela diri atas pertuduhan itu.

17 Februari 2021

Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar.

24 September 2021

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan, menolak pelantikan Sri Ram dan menangguhkan perbicaraan.

5 Oktober 2021

Rosmah mula memberi keterangan dalam prosiding bela diri di Mahkamah Tinggi.

12 Mei 2022

Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai untuk keputusan sama ada Rosmah bersalah atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan tersebut.

1 Julai 2022

Keputusan kes itu dijadualkan semula pada jam 9 pagi, 1 September.

26 Ogos 2022

Tular dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah membabitkan Rosmah berhubung projek solar.

27 Ogos 2022

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dokumen didakwa keputusan perbicaraan kes rasuah itu.

1 September 2022

Keputusan sama ada Rosmah bersalah atau tidak dijangka diketahui.

Klik di sini untuk terus membaca