MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut bakal diadakan hujung tahun ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi berdepan ancaman perang persepsi seakan-akan propaganda 1MDB daripada blok pembangkang dan Pakatan... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut bakal diadakan hujung tahun ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi berdepan ancaman perang persepsi seakan-akan propaganda 1MDB daripada blok pembangkang dan Pakatan Harapan (PH).

Hal ini kerana negara baru-baru ini dikejutkan pula dengan pendedahan skandal pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang difahamkan bernilai keseluruhan RM9 bilion oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Jawatankuasa PAC turut mengaitkan nama beberapa pemimpin utama UMNO-BN yang dipercayai terlibat dalam urusan perolehan dan pelaksanaan projek LCS sejak tahun 2012.

Berikutan itu, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Konvensyen Wanita BN 2022 baru-baru ini membayangkan betapa UMNO-BN menyedari skandal LCS kini sedang dijadikan propaganda 1MDB 2.0 dan senjata ampuh PH bagi mendepani PRU15.

PENGUNDI MENGHUKUM?

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah benar pengundi negara ini akan menghukum UMNO-BN serta pemimpin-pemimpin parti berkenaan yang berimej bersih termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagaimana diunjurkan sebilangan pemerhati politik tempatan?

Tidak dinafikan pendedahan skandal LCS oleh pemimpin pembangkang sedikit sebanyak mengekalkan status qou UMNO-BN sebagai parti cenderung melakukan salah laku urus tadbir negara, di mana sebahagian pemimpinnya kini terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan wang.

Kontroversi projek LCS.

Bagaimanapun, impak skandal LCS secara hakikatnya tidak memberi kesan menyeluruh kepada kelompok segmen masyarakat Melayu dan pengundi luar bandar setakat ini.

"Ini kerana isu pendedahan skandal berkenaan gagal diolah oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dalam naratif dan bahasa mudah, secocok pemikiran masyarakat Melayu bandar dan luar bandar.

"Jika dibandingkan dengan impak skandal 1MDB, siri pendedahan skandal LCS setakat ini hanya setara dengan impak fasa awal pendedahan 1MDB pada tahun 2012 di mana naratif penjelasannya dipenuhi istilah jargon dan data-data sangat kompleks untuk difahami orang kampung.

"Hanya sehingga (bekas Perdana Menteri dua kali) Tun Dr Mahathir Mohamad tampil untuk memudahkan naratif skandal 1MDB dengan istilah lebih difahami pengundi Melayu seperti 'penyangak' dan 'pencuri', barulah skandal 1MDB mula diterima baik masyarakat luar bandar dengan sangat berkesan sehingga membawa kepada fenomena kejatuhan kerajaan BN.

"Berikutan itu, kalau pembangkang boleh menggunakan strategi komunikasi berkesan yang menangkap imaginasi pengundi Melayu dan masyarakat luar bandar, isu skandal LCS mungkin boleh menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan UMNO-BN," kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar.

Hisommudin

TIADA FAKTOR WOW

Selain isu kegagalan pemimpin PH mencari formula komunikasi berkesan, satu lagi cabaran utama pembangkang dalam memaksimumkan impak skandal LCS adalah kesukaran blok itu memenuhi jangkaan kelompok pengundi rasional dan kritikal di kawasan bandar.

Dengan kelompok masyarakat bandar dan separa bandar ini menuntut jangkaan lebih tinggi daripada sekadar mendedahkan pihak mana bersalah, pemimpin-pemimpin PH sebenarnya perlu berfikir di luar kotak dalam memberikan solusi lebih konkrit susulan mereka sudah berpengalaman sebagai kerajaan selama 22 bulan.

"Secara keseluruhan, tiada faktor 'wow' yang boleh menangkap imaginasi pengundi Melayu dan pengundi atas pagar dalam usaha PH cuba menjadikan isu ini sebagai propaganda ampuh bagi memenangi PRU15.

"Pada saat sebahagian besar masyarakat lebih bergelut dalam soal memenuhi periuk nasi mereka susulan negara berdepan masalah ekonomi dan peningkatan kos hidup mendadak, PH kena menyedari elemen tatakelola dan reformasi institusi kerajaan buat masa ini sukar menangkap imaginasi masyarakat luar bandar dan miskin bandar," tegas Hisommudin lagi.

BN CUBA NUETRALKAN

Bagi Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pula, momentum positif ditunjukkan UMNO-BN dalam menangkis serangan persepsi pembangkang berhubung isu skandal LCS pula menyebabkan fenomena berlaku undi protes dalam kalangan pengundi BN pada PRU14 agak sukar berulang lagi.

Anis

Hal ini kerana UMNO-BN tidak lagi bersifat defensif sebagaimana pendekatan mereka dalam mendepani isu 1MDB sebelum ini.

Sebaliknya parti pemerintah itu ketika ini sangat agresif dalam meneutralkan isu berkenaan serta memberi keraguan munasabah terhadap naratif pembangkang.

"Sama ada UMNO-BN sedar atau tidak, mereka telah melaksanakan empat gerakan taktikal dalam mendepani isu LCS iaitu meneutralkan serangan PH, mencipta asas moral bahawa parti itu tidak terlibat dalam isu rasuah, menterbalikkan isu LCS dengan meletakkan kembali beban masalah terhadap PH dan Dr Mahathir serta paling penting, melancarkan serangan balas terhadap PH.

"Sehubungan itu, apa yang perlu dirisaukan UMNO-BN dalam mendepani PRU15 sebenarnya lebih kepada kemungkinan sama ada PH berjaya membangkitkan kembali sentimen pengundi populis mereka untuk keluar mengundi berbanding propaganda skandal LCS mengulangi impak skandal 1MDB," dedah Anis Anwar.

Klik di sini untuk terus membaca