KONFLIK Ukraine kini telah melangkau melebihi 100 hari. Pada permulaan konflik, media cetak dan elektronik, khususnya di negara-negara Barat, telah memaparkan kemusnahan yang berlaku akibat dari konflik ini secara meluas. Konflik di Ukraine... Klik di sini untuk terus membaca

KONFLIK Ukraine kini telah melangkau melebihi 100 hari. Pada permulaan konflik, media cetak dan elektronik, khususnya di negara-negara Barat, telah memaparkan kemusnahan yang berlaku akibat dari konflik ini secara meluas.

Konflik di Ukraine sebenarnya mempunyai impak yang mungkin jarang diketengahkan oleh pihak media secara terperinci dan subjektif.

Ia melibatkan beberapa isu yang dianggap sensitif terhadap kedaulatan negara jiran dan serantau, ia adalah mengenai kemasukan pelarian perang atau konflik.

Isu ini menyentuh secara langsung dua perkara yang mempunyai hubungan dengan tahap keselamatan di persempadanan, iaitu pencerobohan berskala besar sempadan antarabangsa dan kemampuan sesebuah negara untuk menampung dan memberikan akses serta bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang tiba.

Malaysia pernah berhadapan dengan konflik sedemikian, iaitu pertama, pada 1975, apabila pelarian menaiki bot dari Vietnam mula memasuki perairan negara. Ini dikuti krisis pelarian Rohingya pada 2017 yang menyaksikan etnik itu melarikan diri dari pembunuhan beramai-ramai yang dilaksanakan oleh tentera Myanmar terhadap komuniti mereka.

Isu berhubung keselamatan yang dikaitkan dengan pelarian adalah sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dari beberapa aspek.

Ini termasuklah jenayah, penyeludupan manusia, ketegangan hubungan sosial antara kaum serta monopoli tidak sihat dalam aktiviti sektor ekonomi tertentu.

Layanan yang diberi oleh pihak berkuasa negara ini telah beberapa kali dikecam oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa.

Ini terutamanya datang dari pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di negara Barat seperti Human Rights Watch dan Article 19.

Selain itu, organisasi dalaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Burmese Rohingya Organisation yang berpangkalan di United Kingdom turut melaungkan perkara sama.

Seperti juga kebanyakan isu yang menggoncang dunia berkaitan pelarian dari konflik bersenjata, kelantangan organisasi, malah kerajaan negara Barat sebenarnya banyak bersifat hipokrit.

Pihak kepimpinan Barat melemparkan tuduhan mengenai layanan buruk pelarian oleh negara seperti Malaysia boleh diperjelaskan oleh satu kata pepatah Inggeris, iaitu ‘people who live in glass houses shouldn’t throw stones’ (mereka yang tinggal dalam rumah kaca tidak sepatutnya melempar batu).

Konflik-konflik yang berlaku di Libya, Afghanistan, Iraq dan Syria telah menyebabkan berlaku kebanjiran pelarian yang tinggi cuba memasuki Eropah Barat.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila konflik Ukraine/Rusia tercetus. Sebagai negara-negara yang mahu dianggap bertamadun dan mempunyai nilai moral lebih baik dari negara Dunia Ketiga, negara-negara Kesatuan Eropah telah membuka pintu seluasnya kepada 5.2 juta pelarian dari Ukraine.

Syarat dokumen perjalanan antarabangsa seperti pasport dan visa juga telah dimansuhkan.

Mereka dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di mana-mana 27 negara Kesatuan Eropah.

Mereka boleh tinggal di rumah saudara serta sahabat handai, atau di depo khas dengan diberi makanan, perubatan serta pelbagai informasi sekiranya mahu meneruskan perjalanan ke negara lain.

Mereka juga dibenarkan untuk mendapatkan elaun kebajikan, akses perumahan, rawatan perubatan serta sekolah.

Gambaran ini sememangnya satu hakikat, namun jika diteliti, ia terhad kepada mereka yang berambut perang, bermata biru dan berkulit putih.

Mereka yang datang dari Asia, Afrika dan Asia Barat atau bukan berkulit putih akan diberikan layanan amat berbeza walaupun sebab mereka melarikan diri adalah sama, iaitu untuk menyelamatkan diri dari konflik dan peperangan.

Kem-kem pelarian bukan Ukraine dikelilingi oleh kawat duri, beribu pelarian contohnya dibiarkan terperangkap di hutan antara negara Poland dan Belarus pada musim sejuk tanpa tempat perlindungan, air, makanan, selimut atau bekalan perubatan pada 2021. Sekurang-kurangnya 19 pelarian mati beku akibat kesejukan.

Kira-kira 24 pelarian mati ketika cuba menyeberangi sempadan antara Belarus dan Kesatuan Eropah tahun 2021 dan 2022. Menurut pasukan kawalan sempadan Poland, setakat Jun 2022, 4,289 percubaan memasuki Eropah berlaku.

Antara 2016 hingga 2021, Jerman, Greece, Itali, Belanda dan Sepanyol telah melaksanakan 59 pertuduhan di mahkamah terhadap bot-bot milik peribadi yang telah menyelamatkan pelarian yang terumbang-ambing di lautan.

Demikianlah sikap hipokrit negara Kesatuan Eropah, malangnya ramai antara kita yang berbangga menjadikan mereka sebagai contoh penanda aras bagaimana hak asasi manusia perlu dilaksana.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca