KITA dapat lihat bagaimana aktiviti ‘tidak sihat’ kepada alam sering dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. Hakikatnya, sebarang bentuk gangguan manusia termasuk kegiatan pembalakan, penerokaan, pembukaan tanah dan penempatan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

KITA dapat lihat bagaimana aktiviti ‘tidak sihat’ kepada alam sering dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya, sebarang bentuk gangguan manusia termasuk kegiatan pembalakan, penerokaan, pembukaan tanah dan penempatan dalam skala kecil sekalipun akan memburukkan keadaan sehingga menyebabkan kemusnahan terhadap keseimbangan ekosistem.

Meskipun aktiviti itu memberi manfaat kepada manusia, tetapi ia secara langsung membawa keburukan dan kemusnahan kepada alam semula jadi, sekali gus menjejaskan persekitaran yang sempurna.

Perkara ini turut mendorong kepada titik mula pada sesuatu bencana alam kerana apabila berlaku gangguan oleh aktiviti manusia, kombinasi aktiviti semula jadi bertindak balas menyebabkan skala kemusnahan berganda menyebabkan bumi semakin kerap dilanda pelbagai bencana yang berlaku pada bila-bila masa, secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran.

Pada abad ke-21 ini kita sudah menyaksikan banyak bencana alam berlaku sehingga keamanan, kedamaian dan keselesaan yang dinikmati manusia kini mulai tergugat.

Tatkala sumber alam dimanfaatkan dalam kehidupan, ada pihak bersikap sambil lewa terhadap penjagaan ekosistem alam.

Gunung, bukit dan hutan digondolkan demi mengaut keuntungan. Sisa kimia yang dibuang ke sungai mengakibatkan hidupan air musnah.

Manusia menjadi makhluk yang rakus, merosakkan apa yang dianugerahkan kepada mereka.

Akibatnya, jika dahulu bencana alam mungkin berlaku sekali sekala, namun kini ia lebih kerap dan turut melanda kawasan yang langsung tidak dijangka berlaku bencana.

Di sana sini, cuaca melampau seperti gelombang haba, banjir dan kemarau yang dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim dijangka lebih kerap berlaku, berpanjangan dan lebih buruk pada masa akan datang, yang diketahui semuanya berpunca daripada tindakan manusia yang tidak menjaga alam.

Campur tangan keterlaluan manusia telah mengubah unsur iklim ke tahap yang ekstrem sehingga berpotensi mewujudkan dan memburukkan lagi kejadian bencana.

Kombinasi kegiatan manusia dengan aktiviti alam semula jadi termasuk perubahan iklim dunia umpama gangguan yang mencetuskan tindak balas sehingga menyebabkan kemusnahan berganda.

Lebih membimbangkan, keadaan ini juga mendorong kesan berantai lain, seperti tanah runtuh yang memusnahkan harta benda dan meragut nyawa.

Tindak-tanduk manusia di dalam dan sekitar hutan turut mendedah risiko berlakunya kebakaran hutan dan menyebabkan tahap kehilangan kawasan diliputi pokok berkaitan kebakaran menjadi lebih tinggi di kawasan tropika.

Hakikatnya, hampir semua kebakaran yang berlaku di kawasan tropika dimulakan oleh manusia, bukannya dicetuskan oleh sumber penyalaan semula jadi seperti panahan petir.

Kebakaran menyumbang sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan punca pengurangan pokok di kawasan tropika, yang mana kebanyakan berpunca daripada pembersihan hutan bagi aktiviti pengeluaran hasil komoditi dan pertanian menyebabkan hutan tropika kini kurang berdaya tahan dan banyak lagi terdedah kepada kebakaran.

Data oleh Global Forest Watch (GFW) menunjukkan, kebakaran hutan semakin berleluasa dan membakar kira-kira dua kali lebih banyak pokok sekarang berbanding 20 tahun lalu.

Perubahan iklim adalah penyebab utama peningkatan kebakaran, dengan gelombang haba melampaui lima kali ganda berbanding 150 tahun lalu dan dijangka menjadi lebih kerap apabila planet ini terus panas.

Suhu yang lebih panas mengeringkan hutan dan landskap dan mewujudkan persekitaran yang ideal berlakunya kebakaran hutan yang lebih besar dan kerap.

Selain memberi tekanan kepada perkhidmatan kecemasan dan kemudaratan kepada alam sekitar dan manusia, kebakaran hutan membebaskan karbon dioksida (CO2) yang memanaskan planet, seterusnya memburukkan lagi perubahan iklim dan mewujudkan cuaca yang melampau seterusnya menyumbang kepada lebih banyak kebakaran.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca