SHAH ALAM - Kerajaan perlu membangunkan sebuah sistem pengurusan data sumber manusia yang dilengkapi sistem keselamatan data pengguna bagi mengelak situasi tidak teratur sehingga pelanggan menunggu terlalu lama untuk mendapatkan nombor giliran.
Pakar Teknologi dan Sains Maklumat, Dr Amirah Ismail menjelaskan, menerusi sistem pengurusan data sumber manusia, borang tempahan secara dalam talian dapat diisi, selain memuat naik segala dokumen diperlukan daripada majikan.
"Kementerian boleh memperkenalkan sistem aplikasi pengurusan penggiliran. Ia sangat bagus dan memberi manfaat kerana kita boleh jejak nombor giliran sendiri menerusi telefon bimbit.
"Tidak perlu beratur dan bersesak, malah pelanggan boleh pergi ke tempat lain dahulu. Apabila sudah sampai nombor giliran, kita akan dapat notifikasi sekali gus pelanggan tidak perlu menempuh beberapa peringkat sebelum melalui proses temu duga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian (Softam), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mencadangkan penggunaan aplikasi janji temu online yang membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran secara masa nyata dan terus diaplikasikan.
"Aplikasi itu akan menyediakan perkhidmatan janji temu, e-tiket dan nombor giliran mudah alih secara masa nyata serta janji temu mengikut tarikh dan masa,” katanya.
Jelasnya, antara manfaat diperoleh menerusi sistem aplikasi pengurusan penggiliran dan aplikasi janji temu online adalah memberi pengalaman urusan nombor giliran serta janji temu yang selamat, selain keselesaan kepada pelanggan untuk menempah lawatan janji temu di kementerian pada tarikh dan masa mengikut pilihan.
"Kerajaan perlu membuat pembaharuan dengan mewujudkan sistem yang memudahkan rakyat tanpa perlu lagi bersesak, menunggu terlalu lama sehingga hadir dua atau tiga kali semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca