SHAH ALAM - Sinar Karangkraf melancarkan Program Sambutan Hari Kebangsaan Sinar Karangkraf-Malaysia Berintegriti bagi menerapkan kesedaran kepentingan nilai integriti dalam kalangan masyarakat pada masa kini seterusnya melahirkan negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.
Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, masyarakat pada masa kini masih lagi belum merdeka daripada penjajahan gejala rasuah.
Beliau berkata, mesej yang perlu dibawa dalam kempen tersebut adalah untuk memberi rakyat peluang menyatakan pendirian menolak rasuah secara habis-habisan.
"Rakyat seharusnya bangkit mencipta sejarah serta tamadun baru di mana gejala rasuah sudah terhapus di negara ini. Saya berharap supaya kegiatan rasuah ini tidak berlaku lagi di Malaysia ini.
"Kita telah kehilangan berbilion ringgit dari dahulu hingga sekarang. Bayangkan duit itu ada, kita boleh buat sekolah atau hospital yang baik. Mungkin kita juga boleh beri pendidikan atau perkhidmatan perubatan percuma,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan di sini pada Ahad.
Program Sambutan Hari Kebangsaan Sinar Karangkraf-Malaysia Berintegriti turut mengadakan gimik konvoi di sekitar Shah Alam dan dianjurkan sempena memeriahkan Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung sejak Jumaat hingga 4 September.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Sementara itu Ketua Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, objektif tema tersebut juga bertujuan untuk memastikan kerajaan melaksanakan sistem negara yang telus dan tidak ada ketirisan daripada mana-mana pihak.
"Sebenarnya kami pilih tema Malaysia Berintegriti ini kerana kami berpendapat bahawa untuk negara menjadi maju, bersih dan berkembang dari pelbagai sektor termasuk ekonomi serta pendidikan, adalah penting untuk setiap rakyat memahami peranan serta manfaat integriti itu sendiri,” katanya.
Nik Justin berkata, nilai integriti itu perlu dipupuk sama ada di rumah dan sekolah dari peringkat awal supaya pendirian anak-anak dapat dibentuk untuk membenci rasuah sejak dari kecil lagi.
"Kami berharap setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat menerapkan nilai-nilai moral yang tinggi kepada anak mereka.
"Tidak ketinggalan juga kepada semua ketua di setiap jabatan sama ada sektor swasta atau sektor awam dapat melakukan perkara yang sama iaitu menerapkan nilai moral kepada pekerja mereka agar mereka keluar sebagai insan, warga kerja atau anak yang mempunyai sifat integriti yang sentiasa tahu betapa buruknya rasuah dan korupsi itu kepada negara kita,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca