KABUL - Tanggal 31 Ogos menandakan sudah genap setahun pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan yang disifatkan sebagai perang paling lama dalam sejarah negara itu. Langkah memanggil pulang pasukan tentera Amerika itu... Klik di sini untuk terus membaca

KABUL - Tanggal 31 Ogos menandakan sudah genap setahun pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan yang disifatkan sebagai perang paling lama dalam sejarah negara itu.

Langkah memanggil pulang pasukan tentera Amerika itu bagaimanapun mencetuskan situasi huru-hara di Kabul yang menyaksikan lebih 120,000 dipindahkan dan nasib kebanyakan golongan tersebut masih tidak terbela sehingga kini.

Ketika itu, Presiden AS, Joe Biden menegaskan Washington perlu belajar daripada kesilapan mereka dan pengunduran tersebut menandakan berakhirnya era 'campur tangan ketenteraan' di negara lain.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut memaklumkan, AS akan menjalinkan hubungan diplomatik lebih erat dengan Kabul.

Tetapi, janji hanya tinggal janji. Kali terakhir Washington dan Taliban memeterai perjanjian damai adalah pada 2020 yang bertujuan untuk memastikan kumpulan berkenaan akan mengambil bahagian dalam rundingan bersama pemerintah Afghanistan yang dipimpin bekas Presiden, Ashraf Ghani.

Pengambilalihan ibu kota Kabul oleh Taliban pada pertengahan Ogos 2021 bagaimanapun telah menumbangkan kerajaan pusat.

Kemaraan Taliban jelas menunjukkan kegagalan AS yang memandang rendah kemampuan gerakan itu untuk bangkit semula, malah Washington juga tiada ‘pelan B’ tentang perkara tersebut.

AS cuba menutup kelemahan mereka dan enggan menerima kritikan yang dilemparkan banyak pihak.

Biden turut menuding jari menyalahkan pemimpin politik Afghanistan kerana menyerah kalah dan meninggalkan negara itu dalam keadaan kucar-kacir setelah dikuasai semula Taliban.

Presiden ke-46 AS itu juga bertindak meletakkan kesalahan terhadap pendahulunya, Donald Trump kerana menandatangani Perjanjian Doha bersama Taliban pada 2020 yang kononnya menjadi punca pengunduran tergesa-gesa tentera AS.

"Tuduhan paling tidak berasas adalah apabila beliau mengaitkan masalah yang berlaku di bawah pentadbirannya dengan Trump,” ujar bekas Duta AS, Ryan Crocker yang pernah berkhidmat sebanyak dua kali di Afghanistan.

Selain itu, majoriti rakyat Amerika masih tidak berpuas hati dengan Biden, malah tahap sokongan pemimpin tersebut dilaporkan terus merudum dan tidak pernah pulih sehingga kini.

Rakyat terus sengsara Pada pertengahan bulan lalu, Taliban meraikan ulang tahun pertama kemenangan mereka merampas semula tampuk pemerintahan Afghanistan.

Pejuang Taliban turut melaungkan slogan ketika berarak di kawasan berhampiran Kedutaan AS di Kabul.

"Kemenangan ini diperoleh selepas perjuangan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Pada hari ini, Emiriah Islam telah menjatuhkan kuasa besar dunia dan sekutunya yang membawa kepada kemerdekaan rakyat ini,” kata Timbalan Perdana Menteri dan pengasas bersama gerakan Taliban, Abdul Ghani Baradar.

Bagi kebanyakan rakyat Afghanistan terutamanya golongan wanita, pengambilalihan kuasa itu hanya menambah kesengsaraan kepada kehidupan mereka walaupun pemerintah Taliban berjanji untuk menggunakan pendekatan lebih lembut berbanding ketika era pemerintahan pada 1996-2001.

Masa depan kanak-kanak perempuan Afghanistan kini menjadi tanda tanya kerana mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

Sebahagian peraturan ketat yang dilaksanakan masih menyasarkan golongan wanita dan remaja perempuan.

Puluhan pelajar perempuan dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, manakala wanita dilarang bekerja dalam sektor awam dan melakukan perjalanan jauh tanpa mahram lelaki.

Pada Mei lalu, pemerintah Taliban turut mengeluarkan peraturan yang mewajibkan pemakaian burqa kepada golongan wanita di tempat awam "Hidup kami tidak lagi bererti sejak Taliban kembali memerintah. Mereka telah merampas segala-galanya termasuk hak peribadi kami,” kata penduduk di Kabul, Ogai Amail.

Sekatan itu bagaimanapun tidak menghalang aktivis bagi menuntut hak wanita, malah ada wakil daripada golongan tersebut yang berani memimpin usaha kemanusiaan dan membuat perubahan untuk komuniti.

Data agensi bantuan menunjukkan separuh daripada 38 juta populasi di negara itu adalah golongan miskin tegar dan berdepan krisis makanan.

'Saya bukan pengecut' Sementara itu, Presiden terakhir Afghanistan, Ashraf Ghani yang diiktiraf komuniti antarabangsa enggan menuding jari terhadap mana-mana pihak atau menyalahkan dirinya sendiri atas kejatuhan negara tersebut.

"Kabul sedang berdepan situasi sangat teruk,” ujar Ashraf Ghani yang dilantik memegang tampuk pemerintahan pada 2014 dan kini terpaksa hidup dalam buangan ketika wawancara bersama CNN.

Sehingga kini, beliau tidak mahu menyalahkan Washington dan menolak kritikan segelintir pihak yang mendakwa pemimpin itu sengaja meninggalkan Afghanistan.

Ashraf juga tidak mengendahkan perbandingan yang dibuat antara beliau dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang bermati-matian mempertahankan tanah air daripada kempen pencerobohan Rusia.

"Situasi saya dan Zelenskyy agak berbeza kerana beliau telah dimaklumkan terlebih dahulu oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) sedangkan kami dibiarkan terkapai-kapai oleh sekutu kami sendiri,” katanya sambil menjelaskan beliau telah memaklumkan kepada AS tentang kemampuan tentera Afghanistan yang tidak berupaya menentang Taliban.

Ashraf turut menafikan beliau adalah pengecut kerana melarikan diri dan kini menetap di sebuah lokasi rahsia di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya adalah pemimpin terakhir yang tinggalkan Kabul. Saya pergi dengan bermaruah,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca