‘KEBAHAGIAN adalah antara makanan rohani yang paling sedap’. Itu bukan kata mana-mana ahli falsafah tetapi kata saya sendiri, anak Sungai Besar yang semakin dewasa semakin mengakui kebenaran kata-kata Marcus Aurelius, Maharaja Rom (161-180M), yang juga ahli falsafah Stoicisme terkemuka bahawa:
Contohnya, seorang isteri akan terasa sangat bahagia jika suaminya belikan rantai tangan ala tenggiling tidur yang menjadi idamannya selama ini.
Tetapi si suami mungkin tidak bahagia, baik dari saat mula membeli sehinggalah saat isterinya melaram dengan rantai tangan itu. Begitu juga dengan mak cik rumah sebelah. Dia juga mungkin tumpang tidak bahagia.
Secara umum, kita mungkin menyangka semua warga Kuala Lumpur akan bahagia jika setiap hari orang lebih suka berkurung di rumah macam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jalan lengang dan lapang, manakala tempat parkirnya percuma sepanjang masa. Tetapi bahagiakah peniaga dan penjaja? Bahagia jugakah kupu-kupu malam dan rama-rama dinihari kalau asyik pandang muka sesama sendiri?
Pun begitu, tidak kira bagaimana bentuknya, kebahagiaan adalah keperluan utama dalam kehidupan. Setiap orang mencarinya, sepanjang masa. Orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat dan menikmatinya.
Belum pernah saya dengar sesiapa pun yang mencari kesengsaraan dan penderitaan. Yang mencari penyakit lain cerita. Golongan itu memang ramai. Tetapi jangan tersilap, ada juga orang berasa mencari penyakit itu membahagiakan. Kalau tidak percaya, cuba tanya mat rempit atau mat lalok.
Disebabkan kebahagiaan itu tidak bergantung pada apa yang dimiliki, maka kita melihat terlalu banyak contoh golongan kayangan dan super kayangan yang mempunyai segala-galanya meratapi nasib mereka yang jarang mengenal erti bahagia sehingga ada sanggup membunuh diri.
Dan tidak sedikit dalam kalangan mereka yang miskin tetap bahagia bersama keluarga walaupun dalam keadaan hidup serba tiada.
Serius, saya pernah bertemu gelandangan yang mengaku dia berasa bahagia setiap kali hujan turun sewaktu dia mula merebahkan badan di kaki lima.
Begitulah, kebahagiaan tidak boleh diukur dengan apa yang kita nampak. Walaupun pada zaman now ini menunjuk-nunjukkan kebahagiaan menjadi trend terutama di media-media sosial, janganlah sesekali terpesona dan terikut-ikut.
Belum tahu apa kita nampak itu sama dengan realiti sebenar. Dan belum tahu apa yang membahagiakan mereka itu akan juga membahagiakan kita.
Seorang kawan pernah bercerita bagaimana kenalannya berperang besar dengan isteri kerana si isteri asyik merengek hendak merakamkan gambar adegan makan bersuap, jalan berpimpin tangan dengan si suami untuk dimuat naik di laman media sosial sebagaimana kawan-kawannya. Si suami enggan, si isteri mendesak.
"Tetapi si suami tidak mengalah sebab dia takut kalau berbuat begitu tembelangnya pecah,” cerita kawan saya.
"Kenapa?” Saya bertanya. "Dia takut isteri tuanya tertengok gambar-gambar itu dan ajak dia buat perkara yang sama.” Itu juga masalah pada zaman now.
Ruang untuk mereka yang berasa bahagia tidak berkongsi apa-apa dengan sesiapa menjadi semakin sempit. Kalau akaun bank anda boleh mereka ceroboh, apalah sangat dengan kehidupan peribadi anda yang lain.
Di sebalik itu, harus diakui zaman now menyediakan kesempatan cukup luas kepada sesiapa sahaja yang mencari kebahagiaan. Kerana kebahagiaan itu berkait rapat dengan apa yang kita mahu, maka tentukan sahaja apa yang anda kehendaki, kemudian klik.
Ia akan membuka jalan untuk anda menuju ke arah itu. Paling tidak, ia akan mempertemukan anda dengan pakar-pakar tentang kebahagiaan, yang dirinya sendiri pun belum tentu bahagia.
Saya percaya dengan teknologi yang ada, akan sampai masanya nanti manusia mungkin tidak perlu bersusah payah mencari kebahagiaan, sebaliknya bahagia pula yang akan datang mencari mereka.
Contohnya telah ada. Mak cik-mak cik pencen yang tiba-tiba mendapat e-mel atau mesej kasih sayang daripada jejaka-jejaka muda nun di luar sana. Kalau bukan kerana bahagia, sudah tentu mereka tidak sanggup mengorbankan duit simpanan!...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan