SELAMAT menyambut hari kemerdekaan ke-65. Alhamdulillah, kita sudah merdeka selama ini. Semoga kita terus merdeka 100 tahun, malah 1,000 tahun lagi. Ini negara kita semua, negara bagi seluruh warganegara Malaysia.
Sama ada anda berbangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sesiapa sahaja yang mempunyai kad pengenalan biru, anda adalah warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, sekiranya anda penduduk tetap atau pendatang yang sah, malah tanpa izin, tetapi anda punyai perasaan cintakan negara ini sepenuh hati, rasa cinta anda kepada Malaysia bukanlah satu jenayah. Teruskan untuk tumpahkan rasa cinta anda kepada tanah bertuah ini.
Orang Melayu menurut sejarah memang mewarisi negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Ia adalah fakta. Generasi dan tamadun Melayu sudah berakar di negara ini.
Malah, dari sudut sosiologi, sekiranya mereka juga datang dari mana-mana wilayah di Nusantara, mereka hanya berpindah-randah di alam Melayu.
Justeru, perasaan sebagai tuan tanah, rasa bangga yang dilaung dengan tangan terjulang ke udara usah dibimbangkan oleh sesiapa pun.
Mereka bertanjak dan berbusana Melayu, siap dengan keris tersisip di pinggang hanya melahirkan perasaan untuk menjiwai semangat Melayu.
Mereka hanya memanifestasikan sumpah pendekar penuh bangga kerana mempunyai nenek moyang yang sentiasa menyabung nyawa menentang penjajah sejak ratusan tahun lalu.
Setelah fajar merdeka menyingsing cahaya hingga berpuluh tahun lamanya, marilah kita sama-sama rasai semangat itu.
Ketahuilah, seandainya ada lagi mana-mana penjajah yang datang dengan niat serong, mereka akan ditentang habis-habisan oleh cucu-cicit Melayu yang masih ada.
Selepas barisan pihak tentera, inilah barisan berada di bahagian belakang yang akan menyongsong dan menghalau penjajah di hari muka.
Sebab itu, walaupun mereka menggarang wajah seperti ingin menelan apa yang ada di depan mata, mereka tidak akan melanggar undang-undang atau memporak-perandakan negara. Kenapa? Bukankah mereka adalah pewaris pusaka tanah air yang menjaga tanah air ini?
Dalam pada itu, orang Melayu tidak akan cemburu seandainya terdapat sesiapa daripada kalangan kaum Cina, India atau mana-mana kaum lain yang bangun lalu berkata:
Sumpah setia ini akan disambut dengan salam dan pelukan penuh kesyukuran oleh orang Melayu. Generasi tua pelbagai kaum sudah lama tunjukkan teladan kesetiaan itu.
Anak-anak muda perlu teruskan kesepaduan semangat tersebut. Mari kita berfikiran jauh melepasi sempadan kaum, sentimen agama dan segala unsur parochialisme.
Selagi kita berpandangan sempit, memikir untuk merebut kehendak dan bahagian kecil di bumi sekangkang kera ini, maka selagi itulah kita asyik berdengki dan bercemburu sesama kita.
Sebaliknya, mari berpandangan jauh melangkau sempadan negara hingga berwawasan untuk menakluki dunia. Hanya dengan melihat jauh sahaja kita akan sedar betapa banyaknya masa kita terbuang melayan kerenah kecil dan remeh bertahun-tahun lamanya.
Dunia sudah melihat Malaysia dengan sebelah mata. Jangan biarkan dunia berpaling dan tidak mahu memandang kita lagi.
Itu tugas kita semua untuk mengembalikan maruah Malaysia di mata dunia. Andaikan di dada kita ada tersisip Jalur Gemilang.
Bawalah bendera itu ke mana-mana kerana ia adalah warna-warna yang mencerminkan diri kita sebagai warga Malaysia.
Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian