SHAH ALAM - Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menolak kemungkinan untuk menerima tawaran menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur sekiranya dipelawa ke jawatan tersebut satu hari nanti.
Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, walaupun terdapat cadangan dan pandangan daripada sesetengah pihak beliau layak menyandang jawatan tersebut, namun bekas Ahli Parlimen Bukut Bintang itu tetap dengan pendirian lebih selesa berkhidmat mengikut kemampuannya.
"Idea untuk menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur langsung tidak pernah terlintas di pemikiran saya dan mungkin sekiranya ditawarkan, saya pun rasa tidak mahu ambil jawatan itu.
"Ada pihak yang kata saya sesuai untuk jadi Datuk Bandar kerana banyak pengalaman, berkhidmat dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 16 tahun sebagai penasihat kepada Datuk Bandar, tetapi saya senyum sahaja,” katanya dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini terdapat laporan sebuah akhbar yang menamakan Lam Thye adalah individu paling layak dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ekoran pengalamannya bersama DBKL.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, keengganannya menyandang jawatan berkenaan pada usianya sekarang kerana difikirkan tidak sesuai, malah memerlukan lebih banyak komitmen berbanding tanggungjawab sedia ada.
"Saya rasa soal pelantikan Datuk Bandar banyak bergantung kepada politik. Sekarang saya tidak terlibat dengan politik dan lebih selesa tidak berfikir hal ini.
"Namun apa yang menggembirakan saya adalah, ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang fikir Lee Lam Thye boleh dipertimbangkan ke jawatan (Datuk Bandar) itu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca