SHAH ALAM - Di sebalik pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Mei lalu, terdapat dakwaan pekerja tempatan ditindas majikan apabila tidak dibayar elaun yang sepatutnya diterima. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan, kira-kira... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Mei lalu, terdapat dakwaan pekerja tempatan ditindas majikan apabila tidak dibayar elaun yang sepatutnya diterima.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan, kira-kira 40,000 pengawal keselamatan warga tempatan tidak dibayar elaun kerja lebih masa dengan betul.

Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA) pula mendakwa menerima 3,000 hingga 4,000 aduan daripada pengawal keselamatan berhubung isu gaji minimum dan elaun kerja lebih masa.

Selain pengawal keselamatan, turut menghadapi masalah sama ialah pekerja di sektor pembersihan dan pembinaan.

Wartawan NUR IFTITAH ROZLAN dan NURFARDLINA IZZATI MOKTAR mengupas isu tersebut dengan mendapatkan beberapa pekerja terlibat.

Dianggarkan 80 peratus atau kira-kira 40,000 pengawal keselamatan warga tempatan tidak dibayar elaun kerja lebih masa dengan betul.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berdasarkan tinjauan ke beberapa premis termasuk di sekolah.

Beliau berkata, menerusi tinjauan itu, hanya dua daripada 10 syarikat pengawal keselamatan yang membayar mengikut Akta Pekerjaan 1955.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pekerja tidak membuat aduan menerusi saluran disediakan kerana takut dibuang kerja.

"Apabila MTUC turun padang dan buat semakan, kita mendapati slip gaji mereka tidak menyatakan butiran terperinci. Misalnya tidak ada tulis berapa tempoh kerja lebih masa dan kebanyakannya terus bayar lump-sum (sekali gus) saja.

"Semua perkara ini melanggar Akta Pekerjaan 1955. Mereka (pengawal keselamatan) tidak akan buat tuntutan kerana bimbang kerja terancam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kamarul Baharin, aduan berkaitan perkara itu mula diterima pihaknya sejak tahun 2020, namun hingga kini masih tiada tindakan diambil oleh syarikat keselamatan terlibat.

"Gaji pokok RM1,200 apabila dicampur bayaran kerja lebih masa biasanya akan dapat RM1,800 ke RM2,100.

"Tetapi sekarang walaupun gaji minimum naik RM1,500, apabila ditambah dengan bayaran kerja lebih masa, masih dapat jumlah yang sama seperti sebelum ini.

"Maknanya kiraan tersebut tidak betul,” ujarnya.

Beliau berkata, sektor pembersihan dan pembinaan juga ada yang menjadi mangsa penindasan oleh majikan.

Sehingga kini, katanya, terdapat pekerja pembersihan yang masih belum menerima gaji minimum yang berkuatkuasa pada 1 Mei lalu.

"Pekerja pembinaan terutama yang mengendalikan jentera kren selalu kena (tindas) kerana bayaran kerja lebih masa mereka biasanya dikira lump-sum saja dan tidak buat kiraan betul.

"Ini adalah isu yang dihadapi pekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) dan yang paling kritikal berlaku dalam sektor keselamatan, pembinaan dan pembersihan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca