SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan sistem merit dan kredibiliti calon adalah kaedah terbaik buat Barisan Nasional (BN) menempatkan calon untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding kaedah terdahulu iaitu mengikut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan sistem merit dan kredibiliti calon adalah kaedah terbaik buat Barisan Nasional (BN) menempatkan calon untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding kaedah terdahulu iaitu mengikut kuota bagi setiap parti komponen terutamanya melibatkan UMNO, MCA serta MIC.

Profesor Madya, Dr Lee Kuok Tiung dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah berkata, asalnya sistem kuota yang diguna pakai oleh BN sebelum ini adalah untuk representasi bagi memastikan semua parti komponen mendapat kerusi dan perkongsian kuasa.

Bagaimanapun katanya, kaedah itu pada masa kini dianggap kurang sesuai malah seakan-akan sudah terpesong daripada matlamat asalnya sehingga timbul isu agihan kerusi untuk MCA dan MIC.

Jika sistem kuota terus dilakukan, Kuok Tiung menjangkakan BN berdepan implikasi seperti timbul perasaan tidak puas hati yang akan menjurus kepada unsur sabotaj.

Namun Kuok Tiung yakin, kemenangan kerusi pada pilihan raya nanti bergantung pada kekuatan calon itu sendiri dan bukan berdasarkan kuota.

"Saya percaya semua pemimpin tertinggi akan duduk berbincang parti mana yang mempunyai calon terkuat,” katanya.

Selain itu, Kuok Tiung juga berpandangan tidak mustahil akan ada pertukaran bagi kerusi tradisi terutamanya untuk mengisi kekosongan kerusi oleh parti-parti komponen BN sebelum ini yang meninggalkan mereka selepas PRU14.

"Saya percaya matlamat utama adalah memikirkan cara untuk memenangi seberapa banyak kerusi yang boleh pada PRU15.

"Saya rasa sudah jelas BN melihat pesaing utama mereka di Semenanjung adalah Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Mereka juga sedar mereka harus bersatu dan tidak boleh berpecah kerana ia akan melemahkan BN,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta supaya pucuk pimpinan tertinggi BN dapat mengkaji semula sistem kuota di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Isnin, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan dibuat Menteri Besar Pahang itu perlu diperhalusi dan merupakan salah satu strategi memenangi PRU15 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, jangkaan kerusi yang akan ditandingi MCA dan MIC sukar ditafsirkan kerana kenyataan Wan Rosdy itu menjurus kepada kesanggupan untuk mengorbankan kerusi dan tidak terikat dengan amalan lama.

"Apa bentuk tawaran yang akan diberikan jika ada parti bersetuju? Misalnya, adakah kerusi senator akan ditambah untuk yang bersetuju dengan perubahan agihan kerusi jika berlaku?

"Untuk mana-mana parti, mereka menghadapi PRU untuk menang tetapi perlu memastikan setiakawan dalam parti tidak terjejas.

"Kalau mahu dihalusi formula dan tawaran baharu ini, ia harus dibincangkan supaya ia tidak membawa kepada isu lain seperti sabotaj atau tidak mendapat sokongan,” jelas beliau.

Sivamurugan juga berpandangan, sistem kuota ini bukanlah jalan terbaik untuk BN menang pada PRU15.

"Penambahbaikan boleh dilakukan untuk mengadakan sesuatu pembaharuan sekiranya dirasakan sesuai. Bagaimanapun, semangat setia kawan dalam BN harus diambil kira supaya tidak berhadapan dengan isu lain yang melemahkan parti,” katanya.

Sivamurugan menambah, sistem kuota itu juga bertujuan untuk memastikan semua parti yang bertanding mendapat agihan kerusi yang bersesuaian.

Klik di sini untuk terus membaca