SEBAIK ‘sambutan’ setahun genap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengepalai jawatan Perdana Menteri berakhir, landskap politik kembali ‘bergelora’ selepas tenang daripada siri gesaan agar diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAIK ‘sambutan’ setahun genap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengepalai jawatan Perdana Menteri berakhir, landskap politik kembali ‘bergelora’ selepas tenang daripada siri gesaan agar diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu, seminggu sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-65, mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kembali menghangatkan suhu politik sekali gus mencetuskan demam PRU15.

Ia disusuli dengan laporan media bahawa mesyuarat Biro Politik UMNO, yang diadakan sehari selepas Najib gagal dalam rayuan terakhir dalam kes SRC International, menetapkan kata dua kepada Ismail Sabri, diminta supaya mengadakan PRU15 secepat mungkin atau dipecat daripada parti.

Laporan itu dinafikan segera oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkannya sebagai fitnah semata-mata.

Awal minggu lalu, Ismail Sabri juga menafikan beliau ditekan untuk campur tangan dalam kes SRC.

Di sebalik kehangatan politik pusingan terbaharu ini, tarikh pembentangan Bajet 2023 telah diawalkan. Ia kini dijadualkan dibentang pada 7 Oktober berbanding 28 Oktober, tiga minggu lebih awal.

Pertama, ramai menanti dengan harapan tinggi sama ada ia akan menyediakan menu menarik dalam mengharungi persekitaran kos sara hidup yang membebankan hampir kesemua rakyat, terutama B40 dan M40. Kedua, ia kini menjadi indikator sama ada PRU15 akan dipercepatkan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilihat pertama mengulas mengenai spekulasi tarikh pilihan raya, tidak menolak kemungkinan PRU15 lebih awal ekoran tarikh terbaharu belanjawan.

Desakan agar PRU15 diadakan dengan kadar segera yang kelihatan reda seketika sejak Jun lalu kembali hangat minggu lalu.

Di sebalik desakan dan spekulasi itu, tingkap yang sesuai dan lebih tenang diramalkan suku pertama tahun depan iaitu Februari dan awal Mac. Apa pun dalam politik kelebihan semasa boleh digunakan untuk memanggil pilihan raya umum lebih awal.

Meskipun Bajet 2023 diawalkan tarikh pembentangan, Ismail Sabri masih boleh membubarkan Parlimen lebih awal sebelum pembentangan belanjawan.

Bermakna tidak perlu menunggu sehingga bajet dibentangkan untuk memanggil PRU15.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, takwim sebelum ini bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 (31 hari) bagi Dewan Rakyat dan 8 hingga 22 Disember 2022 (9 hari) bagi Dewan Negara. Takwim baharu yang dicadangkan adalah 3 Oktober hingga 29 November bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal.Pertimbangan

Dalam temu bual sempena setahun mengetuai kerajaan, Ismail Sabri menegaskan, sama ada PRU15 diadakan tahun ini atau tahun depan, ia memerlukan banyak pertimbangan sebelum keputusan untuk membubarkan Parlimen dibuat.

Malah tegas beliau, keutamaan kerajaan sekarang ialah menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan negara termasuk isu projek kapal tempur pesisir (LCS) yang belum diketahui kesannya serta cabaran kelembapan ekonomi dunia yang diramal berlaku tahun depan.

Melihat kepada sejarah pilihan raya umum negara, sebanyak lapan pilihan raya umum diadakan empat hingga lima bulan selepas pembentangan bajet.

Bermakna belanjawan secara tidak langsung digunakan sebagai insentif untuk memancing undi. Sebab itu ada yang melabelkan sebagai "ibu” segala belanjawan pilihan raya, bakal menggariskan pelbagai skim dan insentif. Ismail Sabri pasti mahu menggunakan kelebihan ini.

Susulan kelulusan undang-undang melarang antilompat parti, belum ada kerajaan negeri yang meminda perlembagaan negeri masing-masing sebelum PRU15 dipanggil.

Pada masa sama Ismail Sabri mengetengahkan langkah untuk memperkenalkan undang-undang sumbangan politik yang bakal dibawa ke Parlimen pada sesi bajet ini.

Ada tiga lagi perkara, yang dijanjikan oleh beliau dalam melaksanakan transformasi dan kestabilan politik, belum direalisasikan.

Ketika tekanan UMNO ke atas Perdana Menteri supaya segerakan PRU15, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Ismail Sabri tentang perjanjian gabungan itu dengannya bahawa tarikh PRU15 perlu dirunding terlebih dahulu dengan PN sebelum ia diputuskan.

Beberapa hari lalu, komponen PN, Pas juga menegaskan pendirian yang sama. Pada 20 Ogos lalu, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi membangkitkan gesaan adakan PRU15 segera dengan menyatakan UMNO berisiko kalah jika PRU15 tidak diadakan tahun ini.

Isnin lalu, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Ismail Sabri memberi komitmen PRU15 akan diadakan tidak lama lagi. "... tapi beliau tidak bagi tarikh, sehingga beliau terpaksa kata takkan nak bawa sampai tahun depan, jadi jelas PRU tahun ini, kalau tahun ini takkan nak buat bulan 12 nanti orang berenang pula nak pergi mengundi,” kata beliau yang juga No. 2 UMNO.

Ismail Sabri ada kelebihan sendiri dalam memanggil PRU15. Tetapi, situasi getir juga mendepani beliau. Tidak ada laluan selamat bagi mana-mana parti. Pastinya PRU15 tidak lama lagi, tetapi teka-teki berterusan. Lebih hebat permainannya berbanding 2018.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca