PAKISTAN yang mempunyai lebih 220 juta penduduk kini menghadapi krisis banjir selepas ia bermula sejak Jun lalu sehingga mengakibatkan lebih 1,100 orang terkorban manakala kehidupan lebih 33 juta orang pula terjejas apabila banyak kediaman... Klik di sini untuk terus membaca

PAKISTAN yang mempunyai lebih 220 juta penduduk kini menghadapi krisis banjir selepas ia bermula sejak Jun lalu sehingga mengakibatkan lebih 1,100 orang terkorban manakala kehidupan lebih 33 juta orang pula terjejas apabila banyak kediaman ditenggelami air dalam musim monsun.

Ia bukan kali pertama Pakistan dilanda banjir besar kerana pada tahun 2010, dianggarkan 1,200 hingga 2,200 orang terkorban akibat musim monsun yang berlaku pada lewat Julai hingga Ogos dengan kira-kira lebih sejuta kediaman rosak atau musnah dan menjejaskan kira-kira 20 juta penduduk.

Satu pertiga daripada Pakistan ditenggelami banjir kali ini dengan kesannya akan dirasai selama berbulan-bulan selepas tanah-tanah pertanian termasuk separuh tanaman kapas musnah di wilayah Sindh kerana ditenggelami air bah manakala hampir sejuta lembu ternakan pula mati.

Krisis banjir itu berlaku selepas negara tersebut menghadapi krisis politik pada April lalu yang menyebabkan Imran Khan meletakkann jawatan sebagai Perdana Menteri setelah kalah dalam undi tidak percaya dan jawatannya kemudian digantikan oleh tokoh pembangkang, Shehbaz Sharif.

Ia juga berlaku setelah negara berkenaan dilanda cuaca panas dan ada ketikanya terlalu panas pada bulan Mac, April dan Mei lalu manakala penduduknya turut berdepan dengan kenaikan harga barang kesan daripada perang Ukraine.

Menteri Persekutuan bagi Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman telah menganggap banjir itu sebagai krisis yang tidak dapat dibayangkan dan beliau turut membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan bahawa lebih banyak bah akan berlaku di wilayah Sindh apabila sungai di bahagian utara akan menjadi besar sekali gus melimpahkan airnya.

"Tanaman telah musnah, kehidupan musnah, mata pencarian musnah, jalan raya hanyut, rumah musnah atau hampir tidak dapat berdiri, Di mana untuk mengepam/mengalirkan air? Air di mana-mana," menurut ciapannya di Twitter baru-baru ini.

Pada kebiasaannya, musim hujan aktif hanya berlaku selama sebulan setengah dan bermula pada bulan Julai dan Ogos tetapi pada tahun ini, ia bermula lebih awal iaitu dalam bulan Jun dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), Pakistan menerima 166.8 milimeter (mm) hujan pada bulan Ogos berbanding purata 48 mm iaitu peningkatan sebanyak 241 peratus dengan Sindh dan Balochistan iaitu wilayah yang paling teruk dilanda banjir menyaksikan peningkatan sebanyak 784 peratus dan 496 peratus, lapor Dawn News.

Wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa di utara juga telah terjejas teruk oleh 'monsun raksasa' yang sama, lapor Sky News dengan tiada satu pun daripada wilayah Gilgit-Baltistan, Punjab, Azad Jammu dan Kashmir di Pakistan yang terlepas daripada banjir.

HUJAN TURUN TANPA HENTI

Sehubungan itu, Sherry menyatakan bahawa negaranya tidak pernah melihat kitaran monsun yang tidak terputus seperti itu kerana lapan minggu hujan turun tanpa henti telah menyebabkan sebahagian besar kawasan di Pakistan berada di bawah air.

Menurutnya, lebih banyak hujan dijangka turun pada bulan September depan.

Adakah musin hujan mosun yang awal itu disebabkan oleh perubahan cuaca?

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir tetapi suhu panas disebabkan oleh perubahan iklim sehingga mengakibatkan hujan turun dalam jumlah yang lebih banyak daripada biasa mungkin menyebabkan bah besar berlaku di Pakistan.

Sungai-sungai melimpah akibat hujan turun dengan jumlah lebih banyak tahun ini di Pakistan. - Foto AFP

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menganggap Asia Selatan sebagai titik panas krisis iklim di mana penduduk di rantau itu berkemungkinan akan mati 15 kali ganda akibat kesan iklim global.

"Mari kita berhenti berjalan ke arah kemusnahan planet kita oleh perubahan iklim. Hari ini, ia adalah Pakistan. Esok, ia mungkin negara anda," katanya menerusi satu rakaman video.

Pakistan menghasilkan kurang daripada satu peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global tetapi berada pada kedudukan yang konsisten dalam 10 buah negara teratas yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Bagaimanapun, negara itu terletak di dalam kawasan Asia Selatan.

"Kami secara konsisten melihat kemusnahan iklim dalam bentuk banjir, monsun, kemarau yang meluas, gelombang haba melampau," kata Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari dalam temu bual dengan stesen penyiaran CNN, Eleni Giokos pada Selasa lalu.

"Dan rakyat Pakistan membayar harga dalam kehidupan mereka, mata pencarian mereka (semata-mata) untuk perindustrian negara-negara kaya yang telah mengakibatkan perubahan iklim ini," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, Shehbaz yang merupakan Perdana Menteri Pakistan menyatakan baru-baru ini bahawa negara itu tidak boleh dipersalahkan berikutan bencana yang berlaku akibat didorong oleh krisis iklim dan meminta bantuan antarabangsa bagi membantunya menghadapi krisis tersebut.

Sehubungan itu, setelah apa yang berlaku ke atas Pakistan itu, negara-negara lain juga perlu bersedia menghadapi perubahan cuaca dengan tidak mengabaikan amaran tentang masalah iklim di dunia ketika ini. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca