SHAH ALAM - Tidak dibayar elaun kerja lebih masa dengan jumlah sebenar selain masih belum menerima gaji minimum RM1,500 antara masalah yang masih dihadapi pengawal keselamatan di negara ini. Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, rata-rata... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak dibayar elaun kerja lebih masa dengan jumlah sebenar selain masih belum menerima gaji minimum RM1,500 antara masalah yang masih dihadapi pengawal keselamatan di negara ini.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, rata-rata pengawal keselamatan ditemui meluahkan rasa kecewa apabila mereka tidak menerima kadar bayaran kerja lebih masa yang sebenar.

Malah, mereka mendakwa gaji diberikan adalah secara lump sum meskipun dikerah bekerja selama 30 hari sebulan.

Seorang pengawal keselamatan dari Pahang yang mahu dikenali sebagai Sham, 48, berkata, dia kini masih dibayar gaji RM1,200 sebulan.

"Semasa cuti perayaan pula, saya hanya dibayar elaun sebanyak RM50 sedangkan majikan sepatutnya membayar dua kali ganda iaitu RM100.

"Sudahlah saya perlu bekerja selama 30 hari tanpa cuti. Kalau hendak cuti, saya perlu membayar rakan sekerja untuk menggantikan tempat saya.

Seorang pengawal keselamatan wanita di sebuah sekolah di Pendang, Kedah yang mahu dikenali sebagai Raida, 41, berkata, dia menerima bayaran gaji secara lump sum tanpa menerima sebarang imbuhan bagi cuti am dan perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

"Sepatutnya saya dibayar gaji dua kali ganda, namun untuk cuti tersebut, saya hanya dibayar RM70 sehari berbanding RM140 yang sepatutnya diterima.

"Memang rasa sedih sebab kita bekerja tiap-tiap hari tanpa ada cuti,” jelasnya dengan nada sedih.

Seorang lagi pengawal keselamatan dari Kuala Muda, Yan, Kedah yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 59, dia menerima gaji minimum sebanyak RM1,500. Bagaimanapun, elaun yang diterimanya terdapat pemotongan.

"Elaun yang diterima kurang. Sepatutnya bekerja pada cuti umum dibayar sebanyak RM150 tetapi majikan hanya bayar mengikut upah harian iaitu sebanyak RM67.

"Apabila saya ajukan perkara ini kepada majikan, pelbagai alasan diberikan termasuk gaji diberikan mengikut tender dan sebagainya.

"Kadangkala kita rasa seperti dipergunakan dan dikerah seperti buruh paksa sebab tidak dibayar mengikut kadar bayaran ditetapkan walaupun bekerja lebih masa,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca