SHAH ALAM - Terdapat majikan yang mengambil kesempatan tidak membayar elaun kerja lebih masa kepada pekerjanya dengan kadar seperti ditetapkan kerajaan. Presiden Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA), Mohamad Nizam Hamzah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terdapat majikan yang mengambil kesempatan tidak membayar elaun kerja lebih masa kepada pekerjanya dengan kadar seperti ditetapkan kerajaan.

Presiden Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA), Mohamad Nizam Hamzah mendedahkan, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengawal keselamatan tempatan yang tidak dibayar elaun selepas melakukan kerja lebih masa.

"Ada majikan yang menipu kadar kiraan lebih masa untuk menjimatkan kos. Pengawal keselamatan ini sepatutnya dibayar kadar kiraan lebih masa sebanyak 1.5 jam tetapi ada majikan menggunakan kadar di bawah 1.5 jam.

"Malah, masih banyak lagi majikan mengamalkan pemberian gaji secara lump sum (sekali gus) yang ternyata menipu, selain pekerja dikerah bekerja sehingga 30 hari sebulan tetapi tidak dibayar upah bekerja pada hari rehat.

Mohamad Nizam berkata, sejak Mei lalu, pihaknya menerima 3,000 hingga 4,000 aduan daripada pengawal keselamatan berhubung isu gaji minimum dan elaun kerja lebih masa menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial dan panggilan telefon di seluruh negara.

Sementara itu, beliau mendakwa, kebanyakan pengawal keselamatan diambil secara tangkap muat oleh majikan bagi memenuhi kuota kerja seharian.

"Ada yang tidak melepasi tapisan keselamatan, tidak tahu menulis, malah orang tidak tahu apa-apa tugas dan tanggungjawab sebagai pengawal keselamatan juga diambil bekerja.

"Paling penting kepada majikan adalah tidak berlaku penolakan atau penalti oleh pihak pelanggan. Dokumen pekerjaan dan penyata juga gagal diberikan kepada pekerja bagi mengelakan majikan diadu oleh pekerja,” ujarnya.

Beliau berkata, terdapat juga majikan tidak memberi upah kepada pekerja tersebut berdasarkan gaji minimum.

"Ada yang masih menerima gaji bawah RM1,500 selain mengadu mengenai wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lambat dicarum. Mereka terpaksa mengadu ke pejabat Jabatan Tenaga Kerja.

"Jika mereka buat aduan, pihak syarikat akan menukarkan tempat kerja mereka ke negeri lain, atau meminta pekerja tersebut meletak jawatan," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengawal keselamatan yang menghadapi masalah berkenaan supaya segera membuat aduan di aplikasi Working Of Worker (WOW).

Menurutnya, ia bagi membolehkan Kementerian Sumber Manusia atau Jabatan Tenaga Kerja segera mengambil tindakan terhadap majikan tersebut.

"Tidak perlu lagi menunggu sehingga aduan dibuat. Pihak Jabatan Tenaga Kerja seharusnya memantau bagi memastikan tiada majikan mengambil kesempatan dan cuba menindas pekerja dengan tidak membayar elaun setimpal dengan hasil kerja,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca