SHAH ALAM - Wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka berhubung cadangan kaji semula kuota pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, semua parti komponen BN boleh mengemukakan sebarang cadangan untuk penambahbaikan sebagai langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun pada akhirnya segala keputusan adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi BN.
"Sekian lama kita mengamalkan prinsip setia kawan dan semangat BN di mana setiap parti komponen (UMNO, MCA dan MIC) mempunyai kerusi yang diperuntukkan termasuk kerusi yang dianggap ‘kerusi tradisi’.
"Yang penting adalah meletakkan winnable candidate kerana objektif utama adalah memenangi PRU15,” kata Seai Kie kepada Sinar Premium pada Selasa.
Tambah beliau, bagi MCA, kuasa untuk segala rundingan dan penetapan berkaitan urusan pembahagian kerusi sama ada Parlimen atau DUN untuk PRU15 adalah terletak pada Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong yang akan mewakili parti ke meja rundingan Majlis Tertinggi BN.
Ditanya apakah faktor yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan pembahagian kerusi adalah adil dan tidak mengabaikan mana-mana parti atau kaum, Seai Kie menjawab ada beberapa perkara perlu diberi perhatian.
"Sejak penubuhan BN dan rekod sejarah ketika membuat agihan kerusi, pertimbangan telah dibuat berdasarkan prinsip perwakilan, struktur populasi pengundi dan lokasi kawasan. Misalnya, bagi kawasan dengan majoriti Melayu dan terletak di luar bandar biasanya kerusi akan diberikan kepada UMNO.
"Manakala jika terdapat lebih 30 hingga 40 peratus dan ke atas bukan Melayu di satu kawasan dan terletak di bandar, biasanya kerusi itu akan diperuntukkan kepada sama ada MCA, MIC atau lain-lain parti komponen,” katanya.
Faktor berikutnya, adalah meletakkan calon popular yang 'boleh menang' bagi memastikan kerusi tidak terlepas kepada parti lawan.
"Kebiasaannya, parti komponen yang memegang kerusi di satu-satu kawasan berhak menentukan calon untuk bertanding.
"Ini penting terutamanya untuk kerusi tradisi yang dipegang mana-mana parti komponen. Sebarang pertukaran pada saat- saat terakhir tanpa sebab yang munasabah adalah tidak wajar dan patut dielakkan,” ujar beliau.
Kata Seai Kie lagi, jumlah kerusi yang bakal ditandingi MCA untuk PRU15 masih belum dimuktamadkan, namun beliau menjangkakan ada pertambahan kerusi ditandingi antaranya disebabkan kekosongan yang ditinggalkan oleh parti-parti komponen BN seperti Gerakan yang mengumumkan keluar BN pada tahun 2018.
Sementara itu, dalam kenyataan ringkas ketika dihubungi, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pihaknya terbuka jika kajian semula berhubung pembahagian kerusi dilakukan.
"Tiada masalah, kuota pembahagian kerusi boleh dikaji semula sekiranya memang perlu untuk berbuat demikian, namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak merugikan parti,” katanya.
Senada dengan rakan komponen MCA, Vigneswaran menekankan apa jua langkah persediaan yang mahu diambil bagi memperkasa dan memperkuatkan parti menjelang persaingan PRU15, prioriti utama adalah memastikan kemenangan BN.
Klik di sini untuk terus membaca