JIKA disebut sahaja nama Tan Sri Lee Lam Thye, sudah pasti ramai yang mengenang perjalanan politiknya kerana beliau seorang yang benar-benar menunjukkan ciri seorang wakil rakyat. Berkecimpung dalam dunia politik dan telah berkhidmat kepada... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA disebut sahaja nama Tan Sri Lee Lam Thye, sudah pasti ramai yang mengenang perjalanan politiknya kerana beliau seorang yang benar-benar menunjukkan ciri seorang wakil rakyat.

Berkecimpung dalam dunia politik dan telah berkhidmat kepada rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Nenas pada 1969 hingga dilantik menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang, khidmat Lam Thye boleh diterjemahkan sebagai YB yang sebenar iaitu Yang Bekerja atau Yang Berkhidmat untuk rakyat.

Sehingga kini walaupun sudah tinggalkan dunia politik hampir 30 tahun, namun kesungguhan dan tekadnya untuk membantu rakyat tidak pernah ‘pencen’.

Beliau terus menabur bakti dan berkhidmat sebagai aktivis masyarakat yang menumpukan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Buku biografi beliau iaitu Call Lee Lam Thye-Recalling a Lifetime of Service yang ditulis Sofea Chok Suat Ling dan P Selvarani turut menceritakan pengalaman aktivis berkenaan sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam, ahli politik selain menyertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Ikuti perkongsian beliau mengenai perjalanan politik dan khidmat sosialnya dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

JOHAN: Salah satu cerita menarik yang dikaitkan dengan Tan Sri adalah, sebagai wakil rakyat pada suatu ketika dahulu, selalu bawa mesin taip jenis Olivetti Lettera 35, ke mana sahaja Tan Sri pergi. Ini sebahagian daripada 'urban legend' yang dikaitkan. Apa jadi dengan mesin taip itu?

Unik dalam erti kata saya nak lakukan sesuatu yang lain daripada sahabat lain, tidak dilakukan mereka. Saya memilih untuk memiliki dua mesin taip dan saya membawa mesin taip ke mana-mana saya pergi. Sebab kita tahu pada tahun 60-an, kita tiada gajet, teknologi baharu belum muncul.

Apabila saya membawa mesin taip, saya boleh gunakan untuk dua objektif iaitu menyediakan kenyataan akhbar dan kadangkala saya bawa mesin taip ke syarikat media dan saya pinjam satu meja dan buat kenyataan media di situ. Kadangkala ketua editor tengok, ingatkan saya wartawan baharu.

Lam Thye bersama Johan dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara. - Foto Sinar Harian/ MUHAMMAD SYARIN KHAIRI

Saya juga menggunakan mesin taip untuk menyediakan surat sokongan kepada pengundi saya. Misalnya mereka datang untuk memohon rumah pangsapuri, dia perlukan surat sokongan daripada wakil rakyat, dan (syarat) diminta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Saya juga menggunakan mesin taip untuk mengisi borang, (iaitu) borang untuk memohon sijil kelahiran, kad pengenalan serta sijil kewarganegaraan, saya bantu pengundi.

Saya sifatkan (cara kerja) sebagai pejabat bergerak yang mana saya menyimpan mesin taip dan meja kecil di dalam but kereta. Jadi saya bawa ia ke mana sahaja, saya masuk warung, saya disambut baik oleh tuan kedai kerana apabila saya masuk ke sana, dia dapat banyak pelanggan.

Ini sebahagian urban legend yang dikaitkan dengan Tan Sri yang mana pada ketika itu Tan Sri memandu sebuah kereta buruk Mazda 323 dan kemudian Mitsubishi Galant.

Ini adalah imej bagi seorang wakil rakyat pada tahun 60-an dan Tan Sri mewakili DAP pada ketika itu tetapi Tan Sri mendekati semua orang (sama ada) Melayu, Cina, India, semuanya. Budaya itu agaknya sudah tidak berlaku sekarang?

Bagi saya pada zaman itu apabila saya menggunakan kereta kecil ia ikut kemampuan saya. Saya sebagai seorang wakil rakyat sepenuh masa, bererti saya tiada jawatan lain, saya tiada kerja lain selain berkhidmat untuk rakyat.

Boleh saya katakan, tidak ramai wakil rakyat (ketika) zaman saya yang berkhidmat sepenuh masa kerana mereka ada profesion lain, ada yang peguam, arkitek, doktor, pakar ekonomi atau pegawai bank.

Mereka sudah ada jawatan, memang tidak dapat meluangkan banyak masa dengan rakyat. Biasanya mereka melantik Setiausaha Politik untuk jaga. Saya pula sepenuh masa (jadi wakil rakyat) sebab itu saya buatkan satu perbezaan.

Selama 21 tahun Tan Sri mewakili parti, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen, tiba-tiba Tan Sri letak jawatan dan tidak bertanding lagi. Boleh Tan Sri kongsi sedikit mengenai perkara itu?

Isu yang saya hadapi pada masa itu adalah untuk mempertahankan kawasan Parlimen Bukit Bintang, sebelum itu saya sudah menjadi ahli Parlimen selama empat penggal, pada tahun 1990 saya bercadang untuk mempertahankan kawasan itu supaya saya boleh capai lima penggal.

Saya mempunyai harapan bahawa diberi laluan untuk mempertahankan (Parlimen Bukit Bintang), tetapi tidak sangka saya diberitahu oleh pucuk pimpinan bahawa saya akan diberikan satu kawasan lain, kawasan mana ia tidak diterangkan dan saya (telah) memikirkan secara mendalam.

Saya buat rumusan bahawa sekiranya parti mahu saya bertanding di kawasan lain, sekurang-kurangnya mereka mesti beri masa yang cukup untuk membuat persiapan.

Memandangkan masa sangat suntuk, dalam sebulan dua sebelum pilihan raya akan datang, saya buat rayuan kepada pucuk pimpinan untuk memberi peluang sekali lagi untuk mempertahankan kerusi itu.

Saya sudah membuat semua persediaan, poster, penyokong, organisasi sudah siap hanya tinggal ready untuk perang di Bukit Bintang. Tapi saya rasa tidak boleh take everything for granted.

Tan Sri sudah meninggalkan parti tetapi tidak pernah mengeluarkan kenyataan, mengecam parti yang pernah Tan Sri terlibat.

Berbanding dengan ramai ahli Parlimen DAP yang dahulu, apabila keluar daripada parti mereka buat kritikan kepada parti, ada bermacam-macam kenyataan untuk mengkritik pucuk pimpinan, namun saya memang tidak mengeluarkan satu kata negatif pun terhadap DAP.

Sudah melebihi 30 tahun, saya langsung tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang mengkritik parti.

Orang lihat Tan Sri dengan suara kesederhanaan, mengambil prinsip yang dipegang. Apa sebenarnya yang berada di belakang falsafah atau pandangan itu?

Sejak saya berkecimpung dalam politik pada 1969, saya memang pegang teguh kepada prinsip kesederhanaan. Saya berbuat demikian kerana apabila saya lihat negara kita adalah negara berbilang bangsa, budaya, agama dan sebagainya.

Apa yang saya ikutkan logik, kalau misalnya saya mengambil pendirian untuk lakukan sesuatu yang dianggap melampau, mungkin saya boleh 'memberi' kegembiraan kepada satu kumpulan dan (diangkat) sebagai pejuang untuk kumpulan etnik itu.

Namun dalam negara yang ada masyarakat majmuk, sangat penting melaksanakan sifat hormat menghormati. Kalau saya nak jadi seorang pemimpin, saya mesti membuktikan saya seorang yang bersedia untuk mengamalkan prinsip kesederhanaan. Saya sentiasa memastikan kenyataan yang dikeluarkan tidak melampau dan menyakiti mana-mana kumpulan.

Apa pandangan Tan Sri mengenai hubungan kaum pada hari ini?

Berbanding tahun-tahun lepas terutama ketika saya menjadi wakil rakyat, saya boleh katakan zaman itu tahap keharmonian lebih baik, ramai rakyat yang pegang teguh kepada konsep rukun negara. Lima prinsip rukun negara sangat penting apabila kita berbincang mengenai pembentukan negara.

Apabila saya menjadi wakil rakyat, saya dapat lihat hubungan antara kaum memang baik, mesra dan tidak ada sesiapa yang nak jadi jaguh atau memperjuangkan isu perkauman.

Namun pada hari ini kita lihat sungguhpun ada Kementerian Perpaduan, banyak usaha telah dilakukan kerajaan untuk memupuk keharmonian dan perpaduan, tetapi apabila nak sampai tempoh pilihan raya, ramai pemimpin parti politik suka bermain isu perkauman untuk menjadi 'wira etnik' mereka.

Sekarang tidak kira bangsa (atau) kaum, Malaysia adalah negara kita.

Semua kaum mesti bersedia bertolak ansur, mengekalkan keharmonian antara kaum dan kalau kita tidak ada tokoh atau pemimpin politik yang nak bermain dengan isu perkauman, saya tidak nampak isu tersebut menjadi buruk.

Tan Sri sudah mencecah umur 70 tahun, selepas tidak aktif dalam politik, banyak terbabit dalam kerja-kerja kebajikan, menyertai badan bukan kerajaan (NGO). Dalam usia sekarang Tan Sri belum ada titik noktah untuk berhenti.

Apa yang mendorong Tan Sri untuk terus aktif?

Saya mempunyai passion untuk terus berkhidmat. Apa yang saya lakukan sekarang berbanding 21 tahun berada dalam politik, saya anggap ia sebagai kesinambungan kerana percaya dan yakin bahawa perjalanan saya belum berakhir dan saya rasa ada banyak yang boleh saya sumbang kepada negara, misalnya isu keselamatan.

Isu keselamatan merangkumi jenayah, pekerjaan, jalan raya dan keluarga. Saya telah menubuhkan satu NGO baharu iaitu Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat melibatkan beberapa golongan profesional bidang-bidang tertentu.

Saya juga wujudkan banyak jawatankuasa menjaga isu kesejahteraan mental. Hari ini saya anggap isu kesejahteraan mental semakin penting.

Di tempat kerja ada masalah stres. Selain itu banyak juga soal keselamatan yang dipandang ringan misalnya setiap kali berlaku kemalangan, apa yang diumumkan oleh pihak berkuasa ialah mereka nak siasat, mengkaji, buat laporan, tetapi selepas itu masyarakat tidak tahu apa hasil rumusan laporan.

Akhir-akhir ini banyak tulisan di media, fokus tentang Tan Sri dan ada komentar mengenai sepatutnya Tan Sri orang yang paling layak menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ini pandangan serius dan bukan sekadar khabar angin yang ditulis di blog, tetapi di media arus perdana.

Lam Thye bersama bukunya pada Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Lee Lam Thye di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Bernama

Pada pandangan Tan Sri, kenapa hal ini berlaku?

Idea untuk menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur langsung tidak pernah terlintas di pemikiran saya dan mungkin sekiranya ditawarkan, saya pun rasa tidak mahu ambil jawatan itu.

Hakikatnya saya sudah bersara, lebih elok saya buat kerja NGO ikut masa dan kemampuan saya. Ada pihak yang kata saya sesuai untuk jadi Datuk Bandar kerana banyak pengalaman, berkhidmat dalam DBKL selama 16 tahun sebagai penasihat kepada Datuk Bandar, tetapi saya senyum sahaja.

Saya rasa soal pelantikan Datuk Bandar banyak bergantung kepada politik.

Jadi saya tidak terlibat dengan politik dan saya lebih selesa tidak berfikir hal ini. Apa yang menggembirakan saya ialah dalam kalangan masyarakat Malaysia, masih ada yang berfikir Lee Lam Thye boleh dipertimbangkan ke jawatan itu.

Selepas ini apa lagi yang Tan Sri boleh sumbangkan kepada masyarakat di usia sekarang?

Ketika saya jadi ADUN Selangor, banyak tertumpu kepada kebajikan rakyat merangkumi kesihatan, kesejahteraan.

Di negara kita sekarang, setakat ini ramai perdana menteri telah mentadbir, kita masih belum wujudkan budaya keselamatan.

Dapat dibuktikan dengan melihat keselamatan di jalan raya. Setiap hari sekurang-kurangnya 20 orang maut di jalan raya, tidak kira penunggang, pembonceng atau kenderaan lain.

Kalau lihat kepada sektor industri, setiap hari memang ada sahaja insiden yang berlaku di tempat pembinaan. Kalau kita sudah berjaya mewujudkan budaya keselamatan, saya yakin kes-kes seperti itu dapat dikurangkan. Banyak yang boleh dibuat.

Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat dan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli, saya rasa kita masih boleh beri pandangan dan syor yang bernas untuk dipertimbangkan.

Kita merayakan Hari Kemerdekaan yang ke-65 hari ini, apakah nasihat Tan Sri atau pandangan kepada rakyat?

Ini merupakan seruan ikhlas saya kepada rakyat Malaysia, kita mesti pegang teguh kepada rukun negara. Paling penting adalah, mesti buktikan bahawa kita dapat mengamalkan, bukan sahaja dilaungkan.

Saya bagi contoh, di sekolah banyak pelajar yang menghafal lima prinsip tetapi apabila kita bertanya kepada mereka apa ertinya, jawapannya mereka tidak tahu.

Saya banyak fokus kepada isu negara kerana ia merupakan satu perkara fundamental, berasas bila nak wujudkan satu negara yang bersatu padu, harmoni, progresif, dapat memastikan semua rakyat menikmati apa yang sepatutnya.

Apabila saya cakap mengenai landskap politik, ia adalah memastikan kita dapat lahirkan satu generasi ahli politik masa akan datang yang betul-betul berjiwa rakyat, mereka adalah orang politik yang berintegriti tanpa rasuah, (atau) salah guna kuasa dan apa sahaja yang dilakukan demi negara dan kepentingan rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca