PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih awal tidak menguntungkan Malaysia kerana ‘kestabilan bermusyawarah’ yang dinikmati di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin berakhir selepas PRU15.
Namun begitu, asas optimisme PRU15 awal akan menguntungkan UMNO ini adalah keputusan Pilihan Raya Negeri Johor.
Barisan Nasional (BN) telah menambah bilangan kerusi DUNnya sebanyak 1.5 kali ganda, daripada 16 (29 peratus) kepada 40 (71 peratus).
Ini kononnya berlaku kerana pertama, sokongan rakyat telah kembali kepada UMNO dan BN; dan kedua, pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berpecah. Benarkah analisis ini?
Pertama, BN meraih 582,531 undi pada 2018 dan 599,753 pada 2022, iaitu pertambahan sekadar 17,222 undi.
Sebagai perbandingan, pembangkang utama pada 2022, PH, Muda dan PN, memenangi hanya 750,054 undi, berbanding 922,008 undi yang dimenangi oleh PH dan Pas pada 2018, iaitu berkurangan sebanyak 171,054 undi.
Ini bermakna apabila BN bertambah satu undi, pembangkang utama telah hilang 10 undi. Maka, dalam pembesaran jurang setiap 11 undi antara BN dan pembangkang utama, 10 undi (91 peratus) adalah disebabkan kekecewaan pengundi terhadap pembangkang, dan cuma satu undi (sembilan peratus) adalah hasil sokongan baharu kepada BN.
Jumlah undi dipangkah berkurangan sebanyak 112,847 sedangkan jumlah pengundi Johor bertambah sebanyak 779,744 orang.
Ini bermakna pengundi muak dengan semua parti, tetapi lebih kepada pembangkang berbanding BN.
Disebabkan mereka menyertai ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU), maka BN menang.
Kedua, teori khemah besar bahawa pertarungan tiga penjuru antara BN, PH dan PN akan menguntungkan BN, itu tidak semestinya betul.
Bagaimana kesan PRU awal kepada dua faktor ini, dengan terbongkarnya skandal kapal tempur pesisir (LCS) disusuli dengan pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak?
Pertama, keinginan keluar mengundi antara penyokong PH telah meningkat semula.
Mereka dapat lihat kuasa undi. Semakin UMNO ingin selamatkan Najib dan kleptokrat yang lain, semakin hangatlah semangat pengundi PH yang rasa hampa sebelum ini. Pengundi Melayu atas pagar yang rasa waswas terhadap PH pun mungkin keluar mengundi PN.
Kedua, pertarungan tiga penjuru antara BN, PH dan PN tidak merugikan pembangkang. Sebaliknya, jika kedua-dua PH dan PN bersepakat menyerang BN dan UMNO dengan isu rasuah, kehakiman dan peguam negara, mereka boleh berjaya memecahkan undi BN untuk kemenangan sama ada PH atau PN, sepertimana PH dan Pas bersama-sama jatuhkan BN dalam PRU14.
Kalau UMNO harapkan simpati pengundi Melayu kepada Najib, baik tepuk dada tanya sendiri, berapa ramai rakyat marhaen yang tak mampu makan roti canai RM3 sekeping akan susah hati kerana Bossku tak dapat minum ‘caramel macchiato’ Starbucks RM17 secawan di Penjara Kajang?
Akan tetapi, ancaman terbesar kepada UMNO ialah perpecahan antara dua kem.
Belum PRU pun sudah galak menyerang antara satu sama lain, bagaimana nak bersatu dan menangi PRU awal?
Semakin UMNO ingin selamatkan Najib dan kleptokrat yang lain, semakin hangatlah semangat pengundi PH yang rasa hampa sebelum ini.
Pengundi Melayu atas pagar yang rasa waswas terhadap PH pun mungkin keluar mengundi PN."
*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca