SEJAK beberapa hari lalu, 'perang petisyen' berlaku antara dua kelompok dengan fokus utamanya adalah figura politik yang sama iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Barisan Nasional Selangor melancarkan petisyen secara online sejak... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK beberapa hari lalu, 'perang petisyen' berlaku antara dua kelompok dengan fokus utamanya adalah figura politik yang sama iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Barisan Nasional Selangor melancarkan petisyen secara online sejak empat hari lalu untuk mengumpul tandangan rakyat bagi merafak sembah solidariti pengampunan diraja terhadap Najib.

Tidak ketinggalan, pertubuhan NGO, Bersih turut melancarkan petisyen online sama tetapi dengan tujuan bertentangan iaitu merafak sembah kepada Agong agar tidak memberi pengampunan kepada Najib.

Setakat ini (1 September), petisyen dilancarkan BN Selangor sudah mengumpulkan 30,200 tandatangan daripada orang ramai, manakala petisyen Bersih pula mendapat 119,328 tandatangan.

Walaupun keputusan pengampunan diraja ke atas Najib pastinya bukanlah dibuat berdasarkan jumlah tandatangan petisyen, namun petisyen awam ini sedikit sebanyak memberi gambaran persepsi dan sokongan rakyat.

Persoalannya, adakah jumlah tandatangan ini boleh menjadi petunjuk kepada BN bahawa rakyat dan pengundi di atas pagar tidak akan memberi undi kepada parti yang pemimpin utamanya disabit kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Atau mungkin juga, rakyat tidak kisah dengan kes melibatkan Najib kerana lebih mementingkan isu ekonomi dan sara hidup sendiri.

Atau mungkin juga, pengundi akan memberi undi kepada BN sebagai bersimpati dengan pemenjaraan Najib.

Petisyen membantah pengampunan terhadap Najib.


SENTIMEN SIMPATI

Ketua Penyelidikan ILHAM Centre iaitu Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, beliau tidak menafikan bahawa hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan boleh mencetuskan rasa simpati dalam kalangan penyokongnya terhadap Najib.

Beliau berkata, sama ada Najib dijatuhkan hukuman atau tidak, kelompok penyokong tegar ini akan tetap mengundi BN.

Bagaimanapun, Mohd Yusri menegaskan beliau tidak nampak sentimen simpati ini wujud dalam kelompok lain yang membolehkan BN mengumpul sokongan baru kesan daripada hukuman terhadap Najib ini.

"Dalam konteks sokongan, saya belum nampak hukuman kepada Najib memberi impak besar untuk BN meraih sokongan daripada kelompok baru pengundi, hanya mengekalkan sokongan daripada kelompok sedia ada.

"Saya jangkakan petisyen ini tidak akan memberi impak besar, apatah lagi sambutan juga tidaklah terlalu ghairah daripada rakyat Malaysia keseluruhan.

"Namun sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan terhadap Najib, tindakan UMNO memfailkan petisyen tersebut juga wajar dihormati, itu adalah pilihan UMNO.

"Jumlah lebih 30,000 orang yang telah menandatangani petisyen itu juga secara relatifnya adalah kecil, bahkan jauh lebih kecil berbanding jumlah ahli UMNO keseluruhannya (kira-kira 3.3 juta)," katanya.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, setakat ini belum nampak sebarang indikator bahawa petisyen berkenaan akan mencetus gelombang besar yang membolehkan UMNO mendapat sokongan tambahan daripada petisyen tersebut.

Malah, Mohd Yusri berkata, biarpun BN/UMNO menang sebahagian besar siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Johor dan Melaka, namun ia bukan indikator terbaik bagi menentukan kemenangan mereka dalam PRU15 nanti.

"Kemampuan BN menang dengan selesa beberapa siri PRK serta PRN Melaka dan Johor sebelum ini bukan petunjuk utama bahawa BN akan menang mudah dalam PRU15 nanti.

"Sebelum PRU14, BN juga menang selesa dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tapi tewas dalam PRU. Ini membuktikan bahawa PRK dan PRN bukanlah petunjuk utama. Mood pengundi dalam PRU berbeza dengan PRK dan PRN, begitu juga kadar keluar mengundi," katanya.

Petisyen solidariti menyokong pengampunan Najib.

KURANG SAMBUTAN RAKYAT

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, beliau melihat tindakan melancarkan petisyen berkenaan adalah salah satu taktik dan strategi digunakan UMNO bagi meraih sokongan pengundi terhadap BN pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, isu petisyen itu kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat biasa kerana mereka lebih tertarik mengenai soal ekonomi dan pelan kerajaan menangani perkara seperti kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang dekat dihati mereka.

"Presiden UMNO terpaksa meminta penyokongnya melancarkan petisyen kerana kebanyakan kempen BN banyak bergantung kepada Najib selama ini. Rakyat biasa tidak mahu ambil tahu pun isu Najib, 1MDB dan SRC kerana apa lebih penting adalah mereka peduli sama ada nasi ada atas meja makan keluarga masing-masing atau tidak, soal kenaikkan harga barang dan BLR," katanya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, pula menegaskan petisyen dibuat penyokong Najib untuk memohon Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu dibuat terlalu awal kerana Ahli Parlimen Pekan berkenaan baru beberapa hari dipenjarakan dan mempunyai banyak kes lain sedang dibicarakan di mahkamah.

Jeniri berkata, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi dan penyokong setia UMNO mengemukakan petisyen awal kepada Agong bulan hanya terlalu awal, malah menimbul persepsi bahawa kerajaan cuba campur tangan dalam kes Najib dan sistem kehakiman dan perlaksanaan keadilan di Malaysia.

"Sepatutnya jika mereka mahu mengemukakan petisyen mereka patut biarkan dulu Najib masuk penjara beberapa tahun nanti. Tak kan Agong dan Lembaga Pengampunan mahu layan petisyen seperti ini.

"Jadi saya percaya tindakan mereka mempunyai motif politik untuk menyemarakan sentimen simpati kepada rakyat dan penyokong atas pagar supaya kekal menyokong UMNO dan meraih simpati tetang nasib menimpa Najib," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca