SHAH ALAM - Kehidupan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini mula berdepan dengan kegelapan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa beliau bersalah atas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kehidupan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini mula berdepan dengan kegelapan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa beliau bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, enam tahun lalu.

Rosmah, 70 yang sebelum ini dilabel sebagai First Lady didapati bersalah terhadap tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Keputusan itu dibacakan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas 10 hari suaminya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi, saya menghormati keputusan mahkamah untuk apa jua kesimpulan atau dari mana ia datang.

"Tetapi saya ingin mengatakan bahawa saya mahu meninggalkan bilik mahkamah ini dengan kenangan yang indah. Saya pernah menjadi First lady dan saya menyumbang kepada program Pusat Anak Permata Negara (Permata), menyokong mahkamah.

"Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku kepada anda, anak anda, cucu anda kemudian. Saya mangsa dalam semua ini. Anda telah lakukannya kepada suami saya dan anda mahu keluarga saya menderita.

"Tolong ambil kira saya yang menggantikan peranan ketua keluarga," katanya.

Dengan hukuman berkenaan, Rosmah turut menjadi isteri bekas Perdana Menteri yang pertama dijatuhi hukuman penjara.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.

Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Najib, dijadual memberi keterangan selaku saksi pembelaan ketiga, bagaimanapun pada 10 Jan 2022, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan.

Pada 11 Disember 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi dalam perbicaraan yang bermula 5 Feb tahun yang sama.

Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 Sept 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Klik di sini untuk terus membaca