SHAH ALAM - Hukuman denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion dilaporan merupakan denda terbesar dalam sejarah perundangan negara.
Perkara itu disahkan oleh peguam utama Rosmah, Jagjit Singh.
"Ia merupakan denda terbesar yang pernah dikenakan dalam sejarah Malaysia. Rosmah telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda hampir RM1 bilion atas tiga kesalahan,” katanya ketika bercakap di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Selain denda, Rosmah turut dihukum penjara 10 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Rosmah yang hadir dengan memakai baju kurung berselendang kuning kelihatan menangis teresak-esak ketika berucap di mahkamah, sejurus sabitan dibaca di hadapannya.
Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Najib pada 23 Ogos lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta oleh Mahkamah Persekutuan.
Klik di sini untuk terus membaca