TANGGAL 23 Ogos lalu tragedi hitam menyelubungi sejarah pentadbiran Malaysia apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan susulan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 23 Ogos lalu tragedi hitam menyelubungi sejarah pentadbiran Malaysia apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan susulan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Najib mengetepikan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sekali gus menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjadi tahanan di Penjara Kajang.

Menariknya, hanya 10 hari kemudian atau lebih tepat lagi pada 1 September, Datin Seri Rosmah Mansor pula dijatuhi hukuman penjara setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 71, didapati bersalah meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas beliau, Rizal Mansor.

Wang tersebut didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia secara rundingan terus.

Persis kes SRC International, pasukan pembelaan Rosmah diketuai Peguam Datuk Jagjit Singh sempat mengeluarkan ‘kad saat akhir’ sebelum pihak mahkamah menyampaikan keputusan dengan memfailkan permohonan agar Hakim Mohamed Zaini Mazlan digugurkan daripada mendengar dan mengadili kes terbabit.

Permohonan dibuat dengan alasan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes yang disediakan pihak lain, bukannya hakim tersebut lalu ditularkan di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lalu.

Namun pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, dokumen bocor tersebut bukan penghakiman sebaliknya kertas penyelidikan yang ditulis unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib dipercayai memakai baju warna yang sama semasa prosiding rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa lalu. - Foto Fail Bernama


PERCUBAAN SAAT AKHIR GAGAL

Menurut beliau, penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama, hanya untuk membantu hakim ketika menyelidik kes. Penulisan itu adalah pandangan anggota unit yang menulisnya dan pada akhirnya keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.

Ternyata usaha minit-minit terakhir oleh pasukan Rosmah kecundang apabila permohonan tersebut ditolak dan disusuli keputusan Hakim Mohamad Zaini Mazlan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sebaik keputusan dibaca, Rosmah yang gagal menahan tangisan berkata, dirinya menjadi mangsa dalam kes ini sementara pihak yang benar-benar bersalah masih bebas.

Beliau turut mengakui tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid terbabit begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Malah di kandang tertuduh, Rosmah didengar berkata; "Lebih baik bunuh saja saya", ketika mendengar pendakwaan memohon hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar dijatuhkan terhadapnya.

PEGUAM CADANG PENJARA SEHARI

Prosiding kemudian berlanjutan dengan Peguam Datuk Jagjit Singh memohon hukuman ringan terhadap Rosmah dengan membangkitkan sumbangan beliau kepada masyarakat serta kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.

Beliau mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

Sebaliknya, pihak pendakwaan menuntut hukuman maksimum, atau hampir maksimum terhadap Rosmah bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

Menurut Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

Debar episod perbicaraan berprofil tinggi itu kemudian berakhir dengan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah. Beliau juga perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

Namun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan. Beliau juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Berikut dikongsikan fakta dan kronologi kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor:

KES

Penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi sekolah luar bandar di Sarawak.

FAKTA KES

Membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem PV Hidbrid dan Penyelenggraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 buah Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan daripada Kementerian Pendidikan.

DAKWAAN

- Minta rasuah sejumlah RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Aband Samsudin.

- Terima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek.

- Terima rasuah RM5 juta daripada Saidi menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Seri Rizal Mansor kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

HAKIM MAHKAMAH TINGGI - Mohamed Zaini Mazlan

PENDAKWA UTAMA - Datuk Seri Gopal Sri Ram

PEGUAM ROSMAH - Datuk Jagjit Singh

TEMPOH PERBICARAAN - 42 hari

SAKSI - 25 orang

KRONOLOGI

2018

15 NOVEMBER - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta berkaitan kes projek solar hybrid di Sarawak.

2019

15 MAC - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi membabitkan dua tuduhan rasuah dihadapi Rosmah.

10 APRIL - Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

28 JUN - Kes Rosmah atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM5 juta dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

2020

5 FEBRUARI - Rosmah hadir ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya.

31 MAC - Perbicaraan bersambung pada 15 April susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

13 APRIL - Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 15 April ditangguhkan pada 29 April susulan lanjutan PKP sehingga 28 April.

30 APRIL - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bersambung selama 31 hari bermula 13 Julai.

20 MEI - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan bersambung selama 31 hari bermula 13 Julai.

15 OKTOBER - Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 20 Oktober disambung semula pada 2 November susulan PKP.

2 NOVEMBER - Perbicaraan ditangguhkan ke 16 Disember berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

16 NOVEMBER - Perbicaraan ditangguhkan ke 11 Disember susulan pelaksanaan PKPB di Semenanjung.

11 DISEMBER - Mahkamah Tinggi menutup kes Rosmah dan menetapkan 10 Februari sebagai tarikh hujahan kes.

2021

10 FEBRUARI - Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Februari sebagai tarikh keputusan kes selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

18 FEBRUARI - Mahkamah Tinggi arah Rosmah bela diri atas tiga tuduhan rasuah terhadapnya.

6 DISEMBER 2021

Permohonan Rosmah membatalkan perbicaraan ditolak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

2022

23 FEBRUARI - Mahkamah Tinggi menutup perbicaraan selepas 42 hari dengan mendengar keterangan 25 saksi.

5 APRIL - Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Mei untuk sebutan kes rasuah Rosmah.

12 MEI - Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai sebagai tarikh keputusan perbicaraan Rosmah.

27 MEI - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan pertuduhan kes rasuah dihadapi dan menggugurkan Gopal sebagai ketua pendakwaan.

1 JULAI - Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan kes rasuah Rosmah ditetapkan pada 1 September.

1 SEPTEMBER - Mahkamah Tinggi mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah dan beliau juga perlu menjalani tambahan hukuman penjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut

- Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan. Beliau juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

Klik di sini untuk terus membaca