SHAH ALAM - Pasukan peguam bela, Datin Seri Rosmah Mansor, mempunyai masa antara 12 hingga 18 bulan untuk membuktikan kepada Mahkamah Rayuan dan Persekutuan bahawa isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, tidak bersalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pasukan peguam bela, Datin Seri Rosmah Mansor, mempunyai masa antara 12 hingga 18 bulan untuk membuktikan kepada Mahkamah Rayuan dan Persekutuan bahawa isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, tidak bersalah atas semua pertuduhan dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai lebih RM1.25 bilion di Sarawak.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana proses semakan kehakiman kes jenayah di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan biasanya mengambil masa masing-masing antara sembilan hingga 12 bulan jika tiada sebarang 'gangguan' atau penangguhan kes sama ada kerana faktor kesihatan seseorang pesalah jenayah atau pasukan peguam atau hakim sendiri.

Selain itu katanya, antara faktor menyebabkan kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditangguhkan adalah termasuk pesalah jenayah berkenaan mengalami masalah kesihatan kronik seperti terkena jangkitan Covid-19; sakit belakang, anak guam, hakim atau peguam bela tidak dapat hadir dan mengambil cuti sakit (MC).

Jadi Haniff Khatri menegaskan, biarpun Rosmah, 70, didapati bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, namun beliau masih mempunyai dua peluang untuk membersihkan dirinya.

Berikutan itu, pasukan peguam mewakili bekas 'Fist Lady Malaysia' berkenaan mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda dikenakan ke atas Rosmah di Mahkamah Rayuan.

"Jika Rosmah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, hukuman dan dendanya akan berjalan serta merta tetapi dalam amalan undang-undang jenayah, isteri bekas Perdana Menteri itu berhak untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan.

"Jika pasukan pembelaan kes Rosmah gagal memfailkan rayuan pada 15 September ini maka keputusan Mahkamah Tinggi akan menjadi muktamad dan beliau perlu menjalani hukuman penjara dan denda serta merta," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Bagaimanapun, Haniff Khatri berkata, Mahkamah Rayuan boleh membuat pertimbangan untuk melanjutkan tempoh pemfailan rayuan jika seseorang pesalah itu mempunyai sebab munasabah umpamanya atas alasan kesihatan seperti terkena serangan jantung dan dimasukkan ke hospital.

Biarpun semua hukuman digantung, Haniff Khatri berkata, pasukan pendakwaan sepatutnya memohon syarat tambahan termasuk sekurang-kurangnya Rosmah membayar denda secara ansuran; keduanya meminta mahkamah supaya mengenakan tahanan kediaman ke atas Rosmah supaya beliau tidak bebas ke sana sini seperti kes Najib sebelum ini.

Mohamed Haniff Khatri - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Bagaimanapun, Haniff Khatri berkata, dalam kes Najib, perkara berkenaan tidak berlaku kerana tiada permohonan seumpamanya dibuat oleh pasukan pendakwaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, memutuskan Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap kesalahan jika gagal membayar denda tersebut. Rosmah yang hadir dengan memakai baju kurung berselendang kuning menangis ketika berucap di hadapan Mohamed Zaini, sejurus sabitan dibaca di hadapannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua tiga tuduhan.

Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika berjaya disabitkan kesalahan Rosmah boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari 2020.

Klik di sini untuk terus membaca