PADA 1 September lalu, saya telah mengumumkan Kad Laporan Setahun saya di Kementerian Luar Negeri (KLN) bertajuk ‘Mengemudi Dasar Luar Negeri Pasca Pandemik’. Tempoh setahun lalu amat signifikan dalam perjuangan mengemudi dasar luar. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 1 September lalu, saya telah mengumumkan Kad Laporan Setahun saya di Kementerian Luar Negeri (KLN) bertajuk ‘Mengemudi Dasar Luar Negeri Pasca Pandemik’.

Tempoh setahun lalu amat signifikan dalam perjuangan mengemudi dasar luar. Ia berlangsung ketika dunia berdepan tiga cabaran utama iaitu perubahan iklim akibat perbuatan manusia, kemajuan teknologi bermanfaat besar tetapi dituruti isu-isu manusiawi dan arkitektur-arkitektur antarabangsa yang tidak adil.

‘Lima Pencapaian Setahun’ tersebut ialah:

1.Kerangka Dasar Luar Negeri 2021

Kerangka bertajuk ‘Fokus dalam Kesinambungan: Kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia dalam Dunia Pasca-Pandemik’ telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember 2021.

Ia memastikan pelaksanaan dasar luar sedia ada diperkemas supaya sejajar dengan tuntutan semasa.

Lapan fokus baharu diberi pe-nekanan iaitu Malaysia dan ekonomi global, diplomasi kesihatan, ekonomi digital, keselamatan siber, diplomasi bahasa dan kebudayaan, kerukunan hidup bersama dalam budaya damai, multilateralisme serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

2.Keanggotaan Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Malaysia sekali lagi terpilih menganggotai majlis tersebut iaitu bagi penggal 2022-2024. Ia pengiktirafan dunia terhadap peranan Malaysia dalam hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Malaysia terus memperjuangkan hak golongan rentan (kanak-kanak, wanita, Orang Asli, OKU dan warga tua), penghakupayaan belia serta memperjuangkan nasib golongan tertindas (Palestin, Rohingya dan Afghanistan).

3.Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa di Parlimen

Tujuan jawatankuasa tersebut adalah untuk meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Dewan atau menteri termasuk apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen di bawah tanggungjawab KLN.

Ia dianggotai lapan orang ahli Parlimen rentas-parti. Antara perkara yang telah dibincangkannya ialah Kerangka Dasar Luar Negeri, perbelanjaan KLN dan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

4.Kerangka Penyelesaian Konflik Myanmar

Malaysia menjadi leading voice bagi menyelesaikan konflik Myanmar dan telah mengemukakan kerangka itu kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 3 Ogos lalu.

Ia bertujuan menambah baik pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (K5P) yang hingga kini belum menunjukkan hasil.

Kerangka itu mencadangkan supaya ada penamat permainan (end game) yang jelas iaitu tegaknya demokrasi melalui proses perundingan dan transisi inklusif serta adil yang melibatkan pemegang-pemegang taruh utama termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).

5.Memperkukuh Keupayaan Diplomasi KLN

Hal itu merujuk terutama soal pembangunan sumber manusia. Beberapa langkah baharu atau diperbaharui telah dilaksanakan, contohnya Program Pensarjanaan Diplomat, penyediaan buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa serta penaiktarafan Sistem e-Konsular.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca