PANDEMIK Covid-19 telah membuktikan keberkesanan sistem pembelajaran teknikal. Pengurungan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendedahkan ramai yang terkial-kial untuk memasang lampu di rumah.
Ini kerana sistem pembelajaran sedia ada lebih menitikberatkan keputusan peperiksaan cemerlang sekiranya mahu melangkah jauh dalam kehidupan.
Mitos kononnya pendidikan vokasional dan teknikal hanya untuk pelajar ‘kurang cerdik’ masih bergema.
Ramai memiliki sijil kemahiran dan vokasional dimomokkan dengan kesukaran meneruskan pengajian di peringkat tertinggi termasuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Namun, masih ada pihak prihatin dan menyediakan escape route untuk pelajar ‘kurang cerdik’ pergi jauh dalam kehidupan.
Peranan itu dilakukan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC). Minggu lalu, STDC menandatangani perjanjian dengan dua gergasi Jerman iaitu FESTO Asia (Singapura) dan Technical University of Munich (TUM) Asia (Singapura).
Disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), STDC berikrar menyediakan escape route kepada mereka yang meminati bidang teknikal serta vokasional.
Kerjasama itu selaras dengan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilaungkan kerajaan. Ia menjurus kepada bidang digital automasi dan robotik.
STDC sebelum ini telah menjalin perjanjian persefahaman dengan SIEMENS bagi memajukan bidang pembuatan termaju, selain Apple dalam pembangunan aplikasi serta content.
Sebagai insan yang terlibat langsung dalam semua perjanjian tersebut, penulis percaya objektif utama program bertujuan untuk membantu dan melatih atau reskilling/upskilling staf teknikal serta jurutera syarikat pengeluaran bersaiz kecil dan sederhana (SKS) tempatan secara project hands-on.
Secara tidak langsung merancakkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Ia juga memastikan kecekapan SKS ditingkatkan, kos pengeluaran dikurangkan, kualiti pengeluaran dan pengurusan bertaraf dunia, sekali gus memastikan zero defect dicapai.
Penulis mendapati TVET telah lama diiktiraf negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan China.
Penulis juga percaya escape route yang disediakan STDC boleh menarik minat juruteknik dan jurutera atau graduan menganggur terlibat sebagai perantis (apprentice) bagi memperoleh sarjana atau PhD ditauliahkan rakan universiti atau persijilan profesional diiktiraf syarikat teknologi utama berdasarkan bidang kepakaran tersendiri.
Tanpa disedari, STDC kini muncul pusat TVET pertama di negara ini yang berusaha meletakkan nama Malaysia harum setanding negara maju.
Sebenarnya sejarah perkembangan program pendidikan teknik dan vokasional bermula sejak awal 1900-an.
Pihak Inggeris mahu memastikan rakyat yang terlibat dalam bidang kemahiran berladang, berkebun, bersawah, bertukang kayu, pembuatan keris, kapal atau perahu, memasak, kerja kraftangan seperti anyaman menerima pendidikan formal.
Pasukan dari Oxford University diketuai Profesor L J Barnes telah menyediakan Laporan Barnes pada 1951.
Antara inti pati laporan termasuk kepentingan sekolah vokasional moden yang mengutamakan subjek sains, matematik, seni pertukangan, seni perusahaan dan sains rumah tangga.
Bagaimanapun, rancangan itu gagal kerana Barnes tidak mengintegrasikan sekolah-sekolah Melayu ke dalam sistem pendidikan teknikal.
Namun, kerajaan sedar kepentingan bidang teknikal. Pada 1969, Politeknik Ungku Omar menjadi politeknik pertama di Malaysia.
Sehingga kini, 34 buah politeknik telah beroperasi sepenuhnya di seluruh negara tetapi masih ada skeptikal dengan keberkesanan sistem TVET dan teknikal.
Sebenarnya menerusi surah Al-Mulk ayat (67:8-10), ALLAH SWT telah mengingatkan manusia tentang kehebatan bidang TVET dan teknikal.
Justeru, kerajaan telah memajukan pendidikan TVET bagi memastikan bidang teknikal tidak lagi dianggap pendidikan kelas kedua.
Penulis berharap Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) terus berperanan mengangkat darjat bidang tersebut.
BPTV harus meyakinkan masyarakat penubuhan Kolej Vokasional (KV) boleh meningkatkan enrolmen pendidikan vokasional, merombak kurikulum pendidikan vokasional relevan dengan keperluan industri, selain menjamin kerjasama dengan pemain industri utama dunia.
Kesimpulannya, dengan apa cara sekali pun, sudah sampai masanya untuk kita mengangkat darjat pendidikan teknikal dan vokasional serta TVET sekiranya Malaysia mahu bergelar antara pemain utama industri dunia.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC
Klik di sini untuk terus membaca