DALAM bulan Jun tahun ini, Thailand bertindak menghalalkan penanaman dan pengambilan ganja untuk tujuan perubatan selain melonggarkan hukuman yang berkaitan dengan hukuman dadah yang sebelum ini terkenal dengan pendekatan kerasnya terhadap para pesalah narkotik.
Perubahan pendekatan kerajaan itu berlaku selepas negara tersebut berdepan dengan isu pandemik Covid-19 yang berlaku pada tahun 2020 sehingga menjejaskan kedatangan pelancong asing sekali gus merugikan pendapatan negara.
Pada tahun 2019, Thailand menduduki tempat kelapan di peringkat global dari segi ketibaan pelancong antarabangsa dengan China menjadi pasaran sumber utama selain merekodkan kehadiran seramai 40 juta pelawat asing mengunjungi negara itu.
Tiga kategori perbelanjaan teratas berikutan kemasukan pelawat asing pada tahun itu adalah penginapan, membeli-belah, makanan dan minuman selain sektor pelancongan Thailand mencipta sebanyak 36 juta pekerjaan antara tahun 2014 dan 2019.
Namun, sekatan yang dilakukan kerajaan akibat Covid-19 telah menjejaskan sektor pelancongan apabila penumpang-penumpang penerbangan antarabangsa ke Thailand menurun sebanyak 95 peratus pada September 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, negara berkenaan bertindak tidak lagi mengharamkan ganja dan tidak menyenaraikannya sebagai dadah pada Jun tahun ini tetapi akan mendenda sebanyak 25,000 baht (RM3,053) dan penjara tiga bulan ke atas sesiapa yang menghisapnya untuk tujuan rekreasi.
Justeru, Thailand mula membebaskan seramai 3,071 banduan yang telah disabitkan dengan jenayah berkaitan ganja selepas ia tidak lagi diharamkan.
Bagaimanapun, Biro Penindasan Narkotik (NSB) negara itu baru-baru ini mengaku bahawa Thailand kini telah menjadi sebuah pusat transit pengedaran dadah bagi Asia Tenggara untuk para penyeludup narkotik antarabangsa.
NSB mengaku ia menjadi pusat transit selepas beberapa kes pengedaran dadah berprofil tinggi diketahui dengan penahanan pasangan China baru-baru ini yang cuba menghantar heroin ke Australia dengan nilainya di jalanan kira-kira AS$500,000 (RM2.24 juta) pada 24 Ogos lepas.
Pegawai-pegawai daripada biro tersebut menyerbu dan menangkap pasangan itu, Jun Dai, 48, dan Jiali Xie, 28, di hadapan sebuah kedai nasi ayam di daerah Sam Phran di wilayah Nakhon Pathom dan mereka cuba menyeludup sebanyak 4.19 kilogram heroin melalui bungkusan mel ke Australia.
Pihak berkuasa kemudian merampas aset bernilai kira-kira AS$257,200 (RM1.15 juta) termasuk emas dan enam bilik kondominium di Bangkok serta Pattaya manakala siasatan mendedahkan pasangan itu disyaki terlibat dalam rangkaian dadah di Myanmar.
Pegawai-pegawai pihak berkuasa sedang menjejaki rakan sejenayahnya yang lain dan mempunyai kaitan dengan kumpulan dadah itu.
Berikutan rangkaian pengangkutan yang lebih baik di seluruh Thailand seperti kereta api berkelajuan tinggi baharu di Laos, ia memudahkan para penyeludup dadah untuk memindahkan narkotik di sekitar dan melalui negara tersebut.
Sebelum ini, banyak operasi dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengekang penyeludupan dan pengedaran dadah di negara tersebut.
Menurut laporan akhbar Bangkok Post pada 31 Ogos lalu, Pesuruhjaya NSB, Leftenan Jeneral Sarayuth Sanguanpokhai berkata bahawa Thailand telah menjadi hab transit narkotik bagi penyeludup-penyeludup dadah asing kerana negara itu begitu terbuka kepada pelancongan tetapi berkata pihaknya bertekad untuk menghapuskannya.
MENYAMAR
Pelancongan menyumbang sebahagian besar pendapatan negara dan ia mempunyai banyak kempen pelancongan yang menarik kedatangan para pelancong namun pada masa yang sama, penyeludup-penyeludup dadah asing memasuki Thailand dengan visa pelancong dan menjalankan perniagaan mereka sambil menyamar sebagai pelancong, katanya kepada akhbar tersebut.
Sarayuth menambah Thailand dikelilingi oleh negara yang mengeluarkan methamphetamine menjadikannya mudah untuk membawa masuk manakala sistem pengangkutan awam di Thailand, Laos dan China kini sudah menjadi bertambah baik.
Perjalanan dengan menggunakan kereta api dari China ke Asia Tenggara hanya mengambil masa beberapa jam dan banyak syarikat penerbangan tambang murah mempunyai penerbangan di rantau ini menyebabkan mudah bagi penyeludup dadah ke Thailand sebelum menghantarnya ke negara lain, tambah pesuruhjaya NSB tersebut.
Thailand juga telah digunakan oleh para peniaga dadah sebagai hab pengangkutan narkotik terlarang kerana ia terletak bersebelahan dengan Segitiga Emas iaitu kawasan pengeluaran bahan berbahaya tersebut dan mempunyai rangkaian pengangkutan yang mudah, kata Menteri Kehakiman Somsak Thepsutin baru-baru ini.
Menteri itu turut menyatakan bahawa negara berkenaan berada berhampiran dengan Segitiga Emas yang merupakan pangkalan pengeluaran utama dadah terlarang dan Thailand digunakan untuk mengumpulkan dadah bagi tujuan dieksport kerana terdapat rangkaian pengangkutan darat, air serta udara.
Somsak turut menjelaskan bahawa negaranya jarang digunakan sebagai pangkalan pengeluaran dadah kerana hukuman beratnya terhadap pengeluaran dan perdagangan bahan berbahaya tersebut tetapi narkotik jenis kristal methamphetamine dan heroin dibawa melalui Thailand sebelum diseludup ke 19 buah negara termasuk Macau, China, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Filipina, Israel, Australia, New Zealand, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Menteri itu mendedahkan terdapat tiga kumpulan utama yang menyeludup dadah dari Thailand ke negara lain iaitu para peniaga dari negara-negara Afrika Barat, yang kedua ialah warganegara Thailand dan kumpulan minoriti dan ketiga adalah warga asing yang datang ke negara tersebut untuk membeli, menjual serta menyeludup dadah keluar negara.
Justeru, kini Thailand telah dijadikan hab transit dadah ketika ganja dibenarkan ditanam dan digunakan untuk tujuan perubatan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca