SEJAK episod Pakatan Harapan menakluk Putrajaya selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bulan Mei 2018, Malaysia disajikan dengan beberapa wajah kumpulan orang kenamaan (VVIP) politik dihadapkan ke muka pengadilan angkara... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK episod Pakatan Harapan menakluk Putrajaya selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bulan Mei 2018, Malaysia disajikan dengan beberapa wajah kumpulan orang kenamaan (VVIP) politik dihadapkan ke muka pengadilan angkara salah laku rasuah.

Paling mencuri tumpuan adalah dua pasangan suami isteri iaitu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Nasib Najib telah diketahui di mana pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan itu selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula pada Khamis memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta namun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga beliau mengemukakan rayuan.

Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dan hari ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk membela diri terhadap pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.

Najib dipercayai memakai baju warna yang sama semasa prosiding rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa lalu. - Foto Fail Bernama

Mahkamah kemudian menetapkan 14 hari mulai 23 September untuk perbicaraan peringkat pembelaan Bung dan Zizie.

Tarikh perbicaraan selanjutnya yang dijadualkan adalah pada 26 September, 14 dan 28 Oktober, 21 dan 30 November, 1 dan 7 Disember, serta tarikh tahun depan pada 3 Januari dan 9 hingga 13 Januari.

Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom serta dua ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam Datuk K Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Bung Moktar dan Zizie Izette tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.- BERNAMA

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Klik di sini untuk terus membaca