SHAH ALAM - Pasukan pembelaan perlu memanfaatkan proses membela diri bagi membuktikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pasukan pembelaan perlu memanfaatkan proses membela diri bagi membuktikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, peguam Bung Moktar dan Zizie Izette juga perlu memasukkan pembelaan, memanggil seramai mungkin saksi sedia ada dan mengemukakan bukti kukuh bagi menunjukkan pasangan suami isteri berkenaan tidak bersalah.

Beliau berkata proses pembelaan kes Bung Moktar dan Zizie Izzete sehingga keputusan Mahkamah Sesyen mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan atau tahun bergantung kepada jumlah saksi yang akan dipanggil mereka semasa membela diri.

"Kalau mereka (pasukan pembelaan) hanya memanggil beberapa saksi maka proses bela diri akan mengambil masa sekejap, sebaliknya jika ramai mungkin mengambil masa lama.

"Tempoh pembelaan juga bergantung kepada tahap kesihatan dan kehadiran Bung Moktar dan isterinya serta pelbagai faktor lain," katanya yang meramalkan proses pembelaan kes Bung Moktar dan isterinya dari Mahkamah Sesyen ke peringkat keputusan akhir di Mahkamah Persekutuan mungkin akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun lagi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, memerintahkan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan isterinya itu membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan suami isteri berkenaan.

Peguam pasangan itu, M Athimulan memberitahu akan memanggil seramai 10 saksi termasuk diri mereka sendiri.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 hari mulai 23 September untuk perbicaraan peringkat pembelaan Bung dan Zizie.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Tarikh perbicaraan selanjut yang dijadualkan adalah pada 26 September, 14 dan 28 Oktober, 21 dan 30 November, 1 dan 7 Disember, serta tarikh tahun depan pada 3 Januari dan 9 hingga 13 Januari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Datuk K Kumaraendran, Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

Antara saksi berkenaan termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.

Bung Moktar, 64, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak peguam bela perlu mengemukakan hujah bagi membuktikan anak guam mereka tidak bersalah, sebelum Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan awal.

"Keputusan Mahkamah Sesyen hari ini tidak bermaksud bahawa Bung Moktar dan isterinya sudah didapati bersalah, sebaliknya di peringkat ini Bung Moktar dan isterinya perlu memberikan penjelasan kepada mahkamah mengenai apa sebenarnya berlaku.

"Bung Moktar dan isterinya juga perlu menjelaskan bahawa wang berkenaan sebenarnya bukan rasuah tetapi sumbangan atau derma dengan mengemukakan dokumen tambahan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Premium.

Klik di sini untuk terus membaca