SHAH ALAM - 'Pembersihan' UMNO daripada pemimpin terpalit dengan isu penyelewengan dijangka meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - 'Pembersihan' UMNO daripada pemimpin terpalit dengan isu penyelewengan dijangka meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, walaupun pada peringkat awal UMNO mungkin berdepan dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong pemimpin terlibat, namun pada akhirnya mereka akan kembali kepada parti dan mencari ‘tuan’ baharu.

Menurutnya, apa yang penting kini ialah ramai dalam kalangan penyokong dan pengundi kerajaan berpuas hati dengan pendakwaan terhadap pemimpin yang terpalit dengan isu penyelewengan.

"Bagi penyokong UMNO dan pengundi kerajaan dan BN, saya rasa mereka berpuas hati dengan keadaan sekarang sebab mereka tidak bimbang lagi untuk berdepan dengan pembangkang yang menyatakan parti mengamalkan rasuah.

"Mereka akan kembali yakin dan memberikan sokongan kepada pemimpin yang ada.

Ahmad Atory Hussain

"Itu pun bergantung juga tapi saya melihat ia sebagai penanda aras kepada UMNO yang telah dibersihkan dan akan terus dibersihkan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas Ahmad Atory, pemimpin ‘kluster mahkamah’ mempunyai penyokong tersendiri tapi ia tidaklah terlalu ramai dan yakin, kebanyakan mereka akan kembali ke pangkuan parti.

Rasa tidak puas hati kata beliau, berkemungkinan ada tetapi ia tidak sehingga mewujudkan tekanan untuk menjatuhkan UMNO atau BN.

"Mereka mungkin pergi kepada pemimpin lain. Itu adalah perkara biasa dalam politik. Mereka akan mencari ‘tuan’ lain,” ujar beliau.

Tegasnya, walaupun pemimpin pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil kredit dan menyatakan ia adalah usaha agenda reformasi mereka, tapi situasi berkenaan bukanlah sebagaimana yang digambarkan.

"Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri tidak berjaya lakukannya semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

"Pada akhirnya, ‘kayu juga yang boleh memotong kayu’. Maknanya, ia memberikan kredit besar kepada UMNO dan BN sebenarnya, walaupun ia agak terlambat,” katanya.

Ahmad Atory turut menjangkakan, dengan terpenjaranya Najib dan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin UMNO lain, akan membuatkan parti tersebut lebih mudah untuk berlapang dada bekerjasama dengan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Pas.

Tambah Ahmad Atory, sebelum ini pemimpin ‘kluster mahkamah’ menjadi penghalang terbesar ke arah Muafakat Nasional.

Klik di sini untuk terus membaca