SHAH ALAM - Bekas Hakim Mahkamah Tinggi mahu semua pihak buka mata terhadap jenayah rasuah yang boleh memakan diri sama seperti yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Malah Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, individu yang mahu 'menghalalkan' rasuah dengan alasan tidak akan diketahui oleh sesiapa perlu berfikir semasak-masaknya sebelum kemudaratan menimpa diri.
"Jangan ambil ringan tentang perkara-perkara melibatkan rasuah seperti yang disebut hakim dalam penghakiman. Rasuah kalau tidak dibendung akan menjadi satu pandemik.
"Kedua kes ini merupakan satu keputusan yang boleh dijadikan pengajaran dan iktibar. Kepada sesiapa yang bercita-cita ingin melakukan jenayah ini, fikir lah seberapa banyak kali yang boleh,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Pada 23 Ogos lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri ke enam dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Selang 10 hari iaitu pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta namun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga beliau mengemukakan rayuan.
Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mengulas lanjut Mohamad Ariff berkata, hukuman yang dikenakan terhadap Najib dan Rosmah itu menunjukkan sistem undang-undang negara dilaksanakan dengan adil dan sama rata.
Bahkan katanya, kes itu juga membuktikan kebebasan sistem kehakiman masih wujud di Malaysia.
"Apabila kita melihat kes berprofil tinggi seperti Najib dan isterinya telah disabitkan bersalah, ini menunjukkan kebebasan kehakiman telah dibuktikan wujud dan sihat di Malaysia. Hakim-hakim juga menjalankan tugas dengan berani.
Mohamad Ariff yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat menambah, hukuman denda hampir RM1 bilion yang dikenakan terhadap Rosmah adalah jumlah yang wajar mengikut peruntukan undang-undang.
"Hakim tidak ada pilihan kerana ini merupakan peruntukan undang-undang. Menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan.
"Jumlah yang dianggap sebagai jumlah yang diterima atau diminta secara rasuah oleh Rosmah itu adalah jumlah yang tinggi. Oleh itu, denda yang ditetapkan oleh undang-undang itu masih wajar,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca