TANDA-TANDA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian menjelang semakin jelas kelihatan. Pembentangan Bajet 2023 diawalkan tiga minggu dari tarikh asalnya dan pengumuman ‘durian runtuh’ kepada kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob barangkali pembayang untuk perkara tersebut.
Walaupun tarikh sebenar PRU15 masih spekulasi, persediaan parti-parti politik sudah hampir lengkap. Hanya tunggu waktu dan ketikanya sahaja.
Namun, di sebalik persediaan mereka memasuki pilihan raya, masih belum nampak pula persediaan mereka terhadap kebarangkalian yang berlaku selepas pilihan raya.
Kebarangkalian keputusan mengejutkan berlaku pada PRU15 sememangnya dijangka. Majoriti pemerhati dan penganalisis bersetuju bahawa PRU15 bakal sengit serta terbuka.
Dengan perkembangan semasa yang kembali membuka keghairahan politik massa – selepas terlepas daripada kekangan Covid-19 dan keriuhan kes-kes berprofil tinggi orang politik – persaingan politik kembali menjadi separas.
Ada beberapa perkara perlu diperhatikan. Pertama, kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang membelenggu UMNO telah mengubah arah kebarangkalian.
Ketika ini pembubaran awal Parlimen yang suatu ketika dilihat memberi kelebihan buat UMNO menjadi sebaliknya, malah memudaratkan.
Pembubaran segera akan menguatkan spekulasi bahawa ia dilakukan UMNO bagi mengelak kes-kes mahkamah pemimpinnya.
Hal itu sudah tentu akan menaikkan lagi sentimen pengundi atas pagar yang mengalami frustrasi selepas PRU14. Kalau kelompok itu berjaya diasak lawan lantas bersemangat kembali dan keluar mengundi, UMNO dijangka bermasalah.
Pada masa sama, melambatkannya pula akan memberi parti lawan cukup masa untuk mengumpul kekuatan dan modal berkempen menyerang UMNO terutama dengan skandal-skandal penyelewengan.
Untungnya pihak lawan masih tidak solid, kemas dan tersusun seperti PRU14. Jika mereka bersatu atau sekurang-kurangnya bersepakat mengurangkan persaingan sesama sendiri, tidak mustahil hasil serupa boleh diulang.
Sebab itu persaingan PRU15 dijangka separas. Kali ini lebih hebat kerana persaingan merebut kerusi menjadi perlawanan banyak penjuru.
Maka, pertimbangan sebegini membolehkan kita juga sebagai pemerhati membuat spekulasi.
Mengambil kira pandangan Saintis Politik, Dr Wong Chin Huat bahawa UMNO berkemungkinan berdepan kemerosotan kerusi daripada 90 yang dimenangi kepada 60 jika PRU15 dibuat sekarang (dengan mengambil kira faktor semasa yang memberi kelebihan dan kekurangan kepada parti masing-masing), tidak mustahil ada jajaran baharu dibentuk bagi menubuhkan kerajaan.
Kerjasama selepas pilihan raya mungkin lebih realistik dilakukan, berbanding sebelum. Pertama, secara taktikal itu lebih selamat dilakukan berdasarkan jumlah angka sah berbanding kerjasama sebelum yang bersifat retorik dan fungsian (functional).
Selepas pilihan raya, menjadi kerajaan adalah keutamaan orang politik berbanding melayan pengundi, begitulah.
Kedua, isu ego dan skeptikal politik lebih lunak serta mudah jinak selepas pilihan raya berbanding sebelumnya. Lihat bagaimana parti-parti politik lebih mudah bekerjasama dan sudi berunding kalau sudah kalah atau hilang berkuasa berbanding sebaliknya. Tidak mengejutkan seteru ketat yang pernah diludah pun akan sanggup dijilat kembali.
Ketiga, kelompangan Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang membenarkan penggabungan antara parti dengan parti lain (misalnya satu gabungan parti besar, ada satu parti hendak keluar daripada gabungan itu, maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti) masih memungkinkan bertukar sokongan terus berlaku, kalaupun tidak secara profesional melalui kaedah ‘percaya dan perbekalan’ (CSA) atau kerjasama dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU).
Mungkin ketika ini isu apa selepas pilihan raya masih tidak dibincangkan. Namun, tidak salah kalau ia difikirkan sahaja dahulu bak kata orang-orang tua, sediakan payung sebelum hujan.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca