ADALAH sedia maklum, setiap tahun bermula bulan Ogos sehingga 16 September, negara kita akan menyambut bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia sekali gus.
Alhamdulillah, sambutan hari kemerdekaan yang ke-65 baru-baru ini, telah disambut dengan meriah sekali. Sambutan daripada rakyat amat luar biasa, sama ada di peringkat negara atau negeri.
Tempat berlangsungnya sambutan berkenaan penuh sesak dengan ribuan rakyat jelata. Barangkali keterujaan tersebut kerana telah lama terperap dek Covid-19 atau sememangnya rakyat negara kita ikhlas menzahirkan kasih sayang serta semangat cintakan negara. Atau mungkin juga tempias cerita Mat Kilau?
Sebetulnya, sifat kasih dan sayang tidak akan menyerlah tanpa ucapan serta perbuatan yang menzahirkan kasih dan sayang.
Jika kita sayangkan keluarga, tentunya ucapan dan perbuatan menyayangi dizahirkan sepanjang proses pembinaan keluarga.
Begitu jugalah sayangkan negara, tanpa ucapan dan perbuatan yang menzahirkan kasih serta sayang, sambutan kemerdekaan seakan-akan kurang sempurna.
Justeru, sepanjang sambutan bulan kemerdekaan banyak acara dan seruan kepada rakyat dilakukan secara giat serta meluas agar menzahirkan kasih sayang menerusi ucapan dan perbuatan.
Namun, adakah ucapan dan perbuatan semata-mata adalah pelengkap tanda sayangnya kita kepada negara?
Berbicara soal sayangkan negara, terdapat banyak perspektif dilontarkan, antaranya timbul perasaan untuk mengabdikan diri dengan membela, memelihara dan melindungi tanah airnya daripada segala ancaman serta gangguan.
Selain itu, mempunyai rasa bangga, menghargai, memiliki, menghormati dan taat setia kepada negara. Bahkan, rela berkorban dan menyanjung tinggi budaya serta adab pelbagai bangsa dalam negara. Ia bermakna, sifat cintakan tanah air adalah sebati dalam diri setiap insan.
Malah, Rasulullah SAW sendiri sangat cintakan tanah airnya sebagaimana maksud hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW berkata kepada Makkah: "Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Tidak mencukupi
Hakikatnya, semata-mata menzahirkan kasih sayang tidak mencukupi sebagai tanda sayangnya kepada negara.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Islam, Revolusi dan Ideologi - "Suatu negara yang importnya lebih besar daripada eksport sudah tentu akan jatuh bankrap.
Begitu juga dengan kekayaan jiwa, pendirian hidup, kebudayaan, pertahanan batin yang ada pada rakyat dalam negara akan jatuh bankrap sekiranya mereka menyandarkan kekayaan jiwa kepada orang atau negara lain. Inilah pangkal keruntuhan ‘ekonomi jiwa’ manusia."
Selain itu, Pak Hamka juga menegaskan menerusi bukunya, Tasauf Moden - "Tiga sifat yang timbul kerana beragama adalah malu, amanah dan benar. Sifat malu membuatkan orang yang berakal enggan mengerjakan perbuatan jahat. manakala negara hanya dapat tegak di atas amanah.
"Kalau amanah telah runtuh, runtuhlah pemerintahan, ertinya runtuhlah masyarakat dan umat. Selain itu, kebenaran adalah tiang ketiga dalam masyarakat.
"Sesungguhnya pertolongan ilmu dan akal tidak akan tercapai jika tidak diterima daripada sumber yang benar. Langkahnya akan sesat jika dia bertanya kepada temannya jalan ke kanan ditunjukkan jalan ke kiri, jika dia meminta ubat diberinya penyakit.”
Berdasarkan kepada beberapa penjelasan berkaitan cinta dan sayang kepada negara, membina serta menjaga maruah diri sangat penting kepada survival negara kita pada masa hadapan.
Rakyat yang bermaruah akan melahirkan negara yang bermaruah. Negara yang bermaruah akan dihormati sepanjang masa.
Pada hemat saya, jika sekadar melaungkan ‘merdeka’ namun tidak serius menjaga maruah diri dan negara, tanah air akan tergadai bila tiba masanya.
Tingkatkan maruah kita dengan menolak segala perbuatan merosakkan negara. Tolak juga pemimpin yang tidak bermaruah.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca