HIDUP ini adalah pilihan. Sama ada baik atau jahat pilihan kita, kesannya tetap akan kembali kepada kita. Yang lebih teruk, kadangkala akan memberi kesan kepada orang lain yang tidak bersalah terutama keluarga kita.
Ada orang kata semua yang terjadi adalah ujian Tuhan. Dan pilihan yang kita buat juga sudah ditentukan Tuhan. Kita kena menerima dengan tabah ketentuan Tuhan itu sebagai takdir.
Maka, bolehlah dikatakan apa yang berlaku seolah-olah salah Tuhan kerana telah mentakdirkan kita begitu.
Pada masa sama, kita yang melakukannya tidaklah bersalah walaupun bersalah menurut undang-undang duniawi.
Kesan daripada menuding salah Tuhan atau salah orang lain boleh menyebabkan kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita berasakan apa yang kita lakukan adalah betul dan tidak salah.
Cuma kerana sudah ditakdirkan dan mungkin salah orang lain yang tidak berlaku adil kepada kita, maka bukan salah kita.
Apabila orang lain bersalah dan bukan kita, merujuk kepada apa yang kita lakukan, maka kita tidak akan memperbaiki diri. Kita akan terus dengan kelakuan begitu kerana ia bukan salah kita dan tindakan kita betul.
Kita tidak akan dapat keputusan berlainan dengan tindakan yang sama. Kalau hendak memperoleh keputusan berlainan menurut pandangan kita, maka kelakuan, perbuatan dan pilihan kita perlulah berlainan cara.
Jika tidak, kita menerima akibat berulang, dengan layanan yang sama dan akan diperlakukan dengan cara sama tanpa sedikit akan ada perubahan, selagi cara tindakan kita ambil adalah sama.
Setiap kelakuan kita ada sebab akibatnya. Kita bebas memilih tetapi akan ada kesannya kepada kita dalam membuat pilihan. Ia bukan takdir, ujian atau musibah seperti yang kita selalu anggap tetapi ia kesan kepada tindakan kita sendiri.
Kalau kita lapar, maka kita akan mencari makan berbanding menunggu makanan datang sendiri. Kalau kita gagal dalam peperiksaan, maka kita hendaklah berterusan berusaha untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Setiap perkara yang kita inginkan atau pilih, hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Ia tidak akan datang bergolek. Jika kita gagal, maka ia adalah kerana diri kita sendiri yang silap dalam cara melakukan perkara dipilih itu.
Ada orang kata, semuanya daripada Tuhan atau sesuatu yang berlaku adalah ujian. Dan apabila menimpa orang lain adalah bala, sedangkan apa yang menimpa kita adalah daripada perbuatan sendiri, namun ramai orang menafikannya.
Cuma pendirian saya, setiap yang kita lakukan adalah pilihan kita. Tuhan memberi akal untuk kita membuat pilihan baik dan buruk. Pada masa sama, dengan kekuatan akal juga untuk kita merancang sesuatu itu baik atau buruk.
Pepatah Melayu ada mengatakan, diindang ditampi teras, dipilih antah satu-satu, yang memberi maksud jika hendak mencari isteri, menantu atau pegawai hendaklah diusul periksa dahulu supaya tidak tersalah pilih.
Pilihan di tangan kita, terpulang hendak memilih yang bagaimana. Bukan dengan menyalahkan takdir. Jika dapat isteri tidak memenuhi selera mata kita, maka kita kata sudah jodoh. Kalau tersalah pilih pegawai kerajaan yang tidak amanah, maka mungkin ada yang berkata Tuhan sedang menguji kita.
Sebab itu, pentingnya akal kepada kita dalam membuat satu pilihan. Manusia perbezaannya daripada yang lain adalah dari segi akal. Kita hamba Tuhan dan bebas daripada diperhambakan serta diperbudakkan, bererti kita manusia tarafnya sama.
Tiada perbezaan antara manusia melainkan dalam amal dan tiada lebih mulia melainkan ketinggian akal serta pengetahuan. Dan yang mendekatkan manusia kepada Tuhan hanyalah kesucian akal daripada keraguan.
Bak kata pepatah Melayu lama, terentak ruas ke buku. Begitulah pentingnya apabila memilih perlakuan berpandukan kepada akal yang sihat. Kalau tidak, kayu akan dikatakan batu, besi akan dikatakan plastik.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau:mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca