CHINA yang telah dan sedang menghasilkan banyak peralatan senjata canggih termasuk misil yang dilancarkan dari darat ke udara dan jet tempur sedang meningkatkan jualannya ke pasaran di negara-negara Timur Tengah dan Afrika. Ia menyebabkan... Klik di sini untuk terus membaca

CHINA yang telah dan sedang menghasilkan banyak peralatan senjata canggih termasuk misil yang dilancarkan dari darat ke udara dan jet tempur sedang meningkatkan jualannya ke pasaran di negara-negara Timur Tengah dan Afrika.

Ia menyebabkan senjata-senjatanya dijual melangkau negara-negara Asia dan pelebaran sayap eksport tersebut adalah disebabkan kesan tentera Rusia menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu dan sehingga kini ia masih belum lagi berakhir.

Peperangan itu menjejaskan rantaian bekalan jualan senjata dari Rusia dengan Algeria dengan penganalisis menyatakan negara tersebut mungkin mengalami krisis pengimportannya dari Moscow dan ekoran itu, ia mungkin beralih kepada China, Turki atau kuasa Eropah untuk mendapatkannya.

Banyak jet-jet tempur Rusia seperti MiG-29 dan Su-30 dengan ratusan kereta kebal tempur T-90 serta T-72 selain sistem peluru berpandu pertahanan udara S-300 termasuk S-400 jarak jauh buatan Moscow digunakan oleh tentera Algeria.

Peralatan senjata seperti jet tempur China makin mendapat perhatian di Afrika. - Foto AFP

Bagi tempoh 2017 hingga 2021 lalu, Beijing mengeskport sebanyak 47 peratus senjatanya ke Pakistan dan pada tahun ini negara tersebut membeli sebanyak 25 buah jet tempur J-10C kalis radar yang dipasang dengan enjin keluaran tempatan manakala China turut menjual empat buah kapal frigat canggih kepada Islamabad.

China juga mempunyai pertikaian sempadan di bahagian Kashmir yang dikuasai New Delhi dan ia turut mengeksport senjata ke negara berhampiran India, Bangladesh merupakan destinasi eksport kedua terbesarnya dengan menyumbang sebanyak enam peratus daripada eksport senjatanya sepanjang tahun 2017 hingga 2021.

Ia juga pernah menjual sejumlah jet tempur dan peralatan senjata lain kepada Myanmar yang terletak berdekatan dengan India.

AS, EROPAH BIMBANG

Agensi berita The Associated Press juga telah melaporkan bahawa China menjual sejumlah sistem peluru berpandu darat ke udara HQ-22 ke Serbia pada awal April lalu sehingga menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bimbang penjualan sedemikian di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine boleh membawa kepada ketidakstabilan di Balkan.

Pada awal bulan ini, Kementerian Pertahanan Sudan juga dilaporkan memulakan rundingan dengan China untuk membeli sejumlah jet-jet pejuang J-10C buatan negara itu untuk pesawat-pesawat tempur pada masa akan datang, lapor majalah Myzaker.

Pesawat tempur J-10C sederhana berat dan boleh digunakan untuk semua cuaca yang mampu membawa peluru berpandu udara-ke-udara generasi keempat itu mula digunakan tentera China pada tahun 2018, ia telah dianggap sebagai pejuang enjin tunggal yang paling berkebolehan di dunia.

Berikutan Rusia masih menumpukan pencerobohannya ke atas Ukraine dan halangan sekatan daripada Kongres Amerika Syarikat (AS) di Washington yang mengehadkan eksport senjata AS ke beberapa negara di dunia, Beijing telah muncul sebagai pembekal senjata di Timur Tengah dan Afrika.

Perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Pengarah Unit Keselamatan Manusia di Institut Strategi dan Dasar Newlines, Nicholas Hera apabila beliau menyatakan kepada portal Middle East Eye bahawa China menjadi pembekal senjata pilihan bagi kebanyakan negara di Timur Tengah.

Harga yang murah dan kapasiti pengeluaran merupakan daya tarikan terbaik yang ditawarkan kepada bakal pembeli-pembeli senjata antarabangsa buatan China.

HARGA KOMPETITIF

Menurut Hera, China telah bekerja keras untuk membangunkan pasaran global untuk senjata-senjatanya dengan menawarkan pelanggan di seluruh dunia dengan harga yang kompetitif untuk kedua-dua peralatan dan kos penyelenggaraan.

Beijing yang merupakan pengeksport senjata keempat terbesar dunia dari tahun 2017-2021 memperoleh peluang untuk meningkatkan eksport senjatanya berikutan perang yang dihadai tentera Rusia ke atas Ukraine ketika ini.

Tambahan pula, walaupun AS berbalah dengan China dari segi hubungan diplometik dan pernah menghadapi perang perdagangan, Washington tidak boleh menghalang negara tersebut daripada menjual senjata-senjatanya.

Beijing sebelum ini menunjukkan peningkatan eksport senjata ke Afrika dengan jualan senjatanya ke benua itu mengalami pertumbuhan sebanyak 55 peratus antara tahun 2012-2017, lapor portal berita Diplomat.

Menurut laman web AS, Defense News, China telah mengeksport dron bersenjata ke Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Iraq dan Jordan dan ia telah digunakan di negara-negara yang menghadapi peperangan seperti Libya dan Yemen.

Eksport Beijing juga telah meningkat sebanyak 290 peratus ke Arab Saudi dan sebanyak 77 peratus ke UAE dari tahun 2012 hingga 2016 hingga tempoh 2017 hingga 2021.

Sehubungan itu, China mungkin mendapat manfaat besar jika Perang Ukraine masih belum berakhir dan peluangnya meneroka pasaran senjata di Timur Tengah dan Afrika mungkin menbawa kejayaan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca